SEPASANG warga emas di Kampung Bukit Raja Darat, Pengerang, Kota Tinggi Johor terpaksa bersengkang mata demi menjaga keselamatan diri selepas rumah mereka dinaiki air sejak tengah malam Sabtu sebelum diselamatkan tujuh jam kemudian.
Mohd Haris Sabari, 72, dan isterinya Noornie Yusoff, 63, yang tidak mempunyai cahaya mata berkata, mereka hanya mampu reda apabila melihat air mula naik dan memasuki rumah pada pukul 4 pagi.
"Daripada pukul 12 tengah malam tadi sampai pagi, saya tidak boleh tidur khuatirkan air mula naik.
"Kami sudah biasa dengan banjir sebab rumah berdekatan paya tetapi tidak menjangkakan pada tahun baharu kami akan diduga, sedih tidak boleh cakap... apa pun kami reda dan terima ini sebagai ujian daripada Allah," kata Mohd Haris kepada pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia, Johor pada Ahad.
Pasangan itu dibawa keluar oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dari rumah mereka pada kira-kira 7 pagi.
Noornie pula sebak setiap kali rumah mereka dinaiki air dan berasa kasihan pada Mohd Haris yang perlu memapahnya kerana dia mengalami kesukaran untuk berjalan tanpa bantuan tongkat.
"Kaki saya tidak kuat untuk berjalan kerana rasa sakit... nasib baik ada suami di sisi dan anggota APM yang membantu kami keluar dari rumah, kalau saya seorang, tak dapat bayangkan apa akan terjadi,” katanya.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia dan Sekolah Kebangsaan Mawai telah dibuka di daerah itu yang menempatkan 16 mangsa banjir daripada tujuh keluarga.
Beliau berkata, aset daripada pelbagai agensi dan sejumlah 175 petugas bersedia digerakkan sekiranya berlaku banjir di kawasan lain dalam daerah Kota Tinggi.
"Malam ini mungkin ada air pasang hingga 6 Januari depan, jadi kita sentiasa berwaspada kerana takut air pasang bertembung hujan lebat sekali gus menjadikan banjir lebih buruk,” katanya.
Setakat 4 petang pada Ahad, mangsa banjir di tiga daerah di Johor berjumlah 2,022 orang daripada 512 keluarga dan mereka ditempatkan di 37 PPS. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram