Angkara puntung rokok, anak-beranak rentung bengkel terbakar


  • Benua
  • Isnin, 03 Jan 2022

KEBAKARAN bengkel di Mampang Prapatan, Jakarta Selatan pada Ahad. — Agensi

MALANG menimpa dua beranak selepas mereka terkorban dalam satu kebakaran bengkel di Jakarta Selatan, Indonesia dalam kejadian pada Ahad.

Seorang saksi kejadian dikenali sebagai Ade, 34, berkata, kedua-dua mangsa terperangkap di dalam premis tersebut kerana keadaan pintu depan bengkel itu kecil yang menyukarkan mangsa menyelamatkan diri masing-masing.

"Api kemudian semakin marak selepas menyambar tong gas yang diletakkan di hadapan bengkel tersebut.

"Jadi dua mangsa meninggal selepas terperangkap di dalam bengkel tersebut," katanya seperti dilaporkan IDN Times.

Pegawai Perhubungan Awam Balai Bomba dan Penyelamat Jakarta, Mulat Wijayanto berkata, dua mangsa kebakaran dikejarkan ke Hospital Polis Kramat Jati, namun, mereka tidak dapat diselamatkan.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhidin, 50, iaitu pemilik bengkel berkenaan dan anak perempuannya, Mawar, 20 tahun.

Mulat menjelaskan, punca kebakaran bermula daripada puntung rokok yang dibaling secara tidak sengaja oleh Muhidin yang sedang menampal tayar ketika kejadian.

"Muhidin ketika itu membuat tampalan (tayar) sambil menghisap rokok sebelum puntung terjatuh ke dalam cecair beralkohol.

"Ia kemudian mencetuskan kebakaran dengan api marak begitu cepat. Orang ramai di lokasi kejadian cuba memadamkannya tetapi api semakin besar dan sangat sukar dipadamkan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram