Netizen marah isu 'booster' keempat, ini respons KJ


  • Primer
  • Ahad, 02 Jan 2022

KHAIRY turut akui kajian berkenaan dos penggalak akan sentiasa dilakukan mengikut data semasa. — The Star

KEPERLUAN untuk mengambil lebih daripada satu dos penggalak dibuat berdasarkan kajian dan respons kepada bukti sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini hanya satu dos penggalak diperlukan bagi meningkatkan ketahanan penerima terhadap Covid-19.

"Lebih dari itu, kita kaji dari masa ke masa bila data saintifik baharu muncul.

"Yang penting respons kita ikut data yang baharu. Ini yang dimaksud respons yang evidence-based," kata menteri itu dalam satu ciapan di Twitter pada Ahad.

Terdahulu, kecoh di media sosial selepas netizen mula mempertikaikan keperluan untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 buat kali ke empat.

Semalam, Khairy berkata Kumpulan teknikal KKM sedang mengkaji keperluan memberikan suntikan dos penggalak keempat berikutan ancaman penularan Omicron.

Kajian itu dibuat kepada penerima vaksin Sinovac yang diberikan suntikan dos penggalak Pfizer.

Jelas Khairy, respons kementerian akan berubah mengikut kepada kesan mutasi.

Katanya, ketika vaksin Covid-19 dibangunkan, belum ada sebarang varian Delta atau Omicron dikenal pasti.

"SARS-CoV2 adalah ‘novel’ coronavirus yakni virus baharu yang pasti akan melalui mutasi. Apabila kita lebih tahu kesan mutasi, respons kita perlu juga berubah. Di sesetengah negara flu jab diambil setiap tahun," ujarnya.

Sebelum ini, Reuters melaporkan kajian mendapati penerima Sinovac dengan dos penggalak Pfizer menghasilkan tindak balas antibodi terhadap Omicron yang serupa dengan mereka yang menerima vaksin mRNA dua dos tanpa penggalak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram