EKSKLUSIF

Perjalanan panjang buat Hambali, dua rakyat Malaysia


  • Primer
  • Ahad, 02 Jan 2022

HAMBALI, yang juga dikenali sebagai Encep Nurjaman dan Riduan Isamuddin, merupakan seorang pemastautin tetap di Malaysia.

PERBICARAAN pengganas Indonesia, Hambali dan dua rakannya dari Malaysia Mohamed Farik Amin dan Mohamed Nazir Lep, yang telah ditahan selama lebih 18 tahun, akhirnya bermula dengan sesi pendengaran dan dijangka memakan masa yang panjang.

Atas sebab teknikal perundangan, perbicaraan terpaksa ditangguhkan tanpa penetapan tarikh baharu bagi sesi perbicaraan yang sewajarnya dimulakan.

Ketiga-tiga mereka ditahan di pangkalan Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba, dan merupakan antara 39 tahanan yang masih tinggal daripada 780 tahanan asal di penjara yang mempunyai tahap keselamatan tinggi itu pada 2002.

Mereka diklasifikasikan sebagai "tahanan berprofil tinggi" dan "ancaman berisiko tinggi" kepada Amerika Syarikat dan sekutunya.

Sesi pendengaran yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Ketenteraan AS bermula buat pertama kali pada Ogos lalu, tetapi kes mereka kini ditangguhkan.

Suruhanjaya Ketenteraan Guantanamo yang ditubuhkan pada 2001, merupakan mahkamah tentera yang secara tradisinya digunakan untuk membicarakan kesalahan perang dan kesalahan lain.

Ketiga-tiga mereka telah didakwa dengan tuduhan konspirasi, pembunuhan, keganasan, pemusnahan harta benda dan menyerang orang awam.

Dengan tiadanya tarikh baharu ditetapkan untuk perbicaraan sebenar, kes mereka dijangka tergantung lagi.

Hambali merupakan pemimpin utama Al-Qaeda di Asia Tenggara, manakala dua rakyat Malaysia terlibat telah direkrut secara peribadi olehnya untuk serangan berani mati yang dirancang terhadap AS.

Tuduhan terhadap ketiga-tiga mereka tertumpu kepada dua serangan pengganas di Indonesia yang turut mengorbankan rakyat Amerika.

Hambali sendiri mengaku tidak terlibat dalam kedua-dua serangan itu.

Tetapi kertas pertuduhan menunjukkan kesalahan ketiga-tiga mereka berkait dengan setiap aktiviti pengganas sehingga setahun selepas penahanannya.

Mereka juga dikaitkan dengan pengeboman maut di Bali hampir 20 tahun lalu yang mengorbankan 200 orang dan pengeboman di Jakarta yang menyebabkan 12 maut dan lebih ramai lagi cedera.

Mereka ditangkap di Thailand pada 2003 sebelum dihantar ke Guantanamo Bay, pada 2006 di mana mereka telah menghabiskan masa lebih 14 tahun di sana.

Hambali, yang juga dikenali sebagai Encep Nurjaman dan Riduan Isamuddin, merupakan seorang pemastautin tetap di Malaysia.

Ketiga-tiga mereka kelihatan sangat berbeza, seperti yang dilihat dari gambar terbaharu yang diperoleh peguam bela mereka, malah pegawai keselamatan Malaysia juga terkejut dengan perubahan penampilan mereka.

The Sunday Star, menghubungi peguam Hambali, Jim Hodes yang menyatakan perbicaraan mahkamah itu sebenarnya ialah "suatu perbicaraan di mana seorang individu dinasihatkan tentang hak mereka oleh hakim dan secara rasmi didakwa dengan kesalahan jenayah dan peguamnya sebelum defendan menyatakan niat untuk merayu atau mengaku tidak bersalah".

“Pada bulan Ogos, kerajaan telah mengupah penterjemah yang tidak kompeten dan dengan itu anak guaman kami tidak pernah dinasihatkan dengan betul mengenai pertuduhan itu,’’ katanya dalam temu bual menerusi emel.

Beliau berkata, sesi pendengaran pada asasnya hanyalah permulaan proses untuk pergi ke perbicaraan pada masa hadapan.

“Kes itu mengambil masa 18 tahun untuk sampai ke tahap ini kerana kerajaan AS sentiasa cuba menyembunyikan fakta bahawa mereka menyeksa anak guam saya, melanggar undang-undang AS dan antarabangsa.

"Kes itu dihadap ke mahkamah tentera kerana mahkamah persekutuan awam tidak akan membenarkan perkara yang cuba dilakukan oleh kerajaan," katanya.

Selain Hodes, dua lagi peguam, Christine Funk dan Brian Bouffard, masing-masing mewakili Mohd Farik @ Zubair Zaid dan Mohd Nazir @ Lillie.

Peguam-peguam itu disediakan oleh kerajaan dan diambil melalui Pertubuhan Pertahanan Suruhanjaya Tentera.

Ketiga-tiga mereka enggan membuat pengakuan, apabila mereka dihadapkan pada 30-31 Ogos lalu, dengan alasan ketidakcekapan penterjemah, yang mengakibatkan terjemahan tidak tepat.

Bouffard berkata, Nazir tidak dapat memahami prosiding mahkamah kerana bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu dan mahkamah terpaksa tukar kepada bahasa Indonesia, bahasa yang tidak sepenuh difahaminya,'' katanya sambil menambah bahawa Nazir telah diseksa ketika soal siasat dilakukan. — The Star

Datuk Seri Wong Chun Wai merupakan Penasihat Editorial, Star Media Group.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram