PERUBAHAN rupa muka bumi hasil kerja tangan-tangan manusia yang jahil, rakus dan tamak boleh menyebabkan impak bencana alam atau bencana tabii seperti banjir besar, menjadi semakin buruk.
Pakar geobencana, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, orang ramai perlu faham bahawa bencana tabii (natural disaster) berlaku disebabkan proses geologi seperti gempa bumi, tsunami, letusan volkano, banjir dan gelinciran tanah.
Beliau berkata, bencana alam sekitar (enviromental disaster) pula disebabkan oleh aktiviti manusia melibatkan gangguan terhadap proses alam semula jadi yang berlaku secara berterusan sejak 4.5 bilion tahun lalu.
"Bencana alam sekitar umpamanya aktiviti pembersihan hutan akan menyebabkan permukaan tanah terdedah dengan titisan hujan, aliran permukaan deras, hakisan tinggi, dasar sungai cetek dan jika hujan lebat, ia mudah mengakibatkan banjir kilat serta banjir limpahan sungai.
"Pembuangan sampah sarap ke dalam parit menyebab alur air tersumbat, dan banjir secara tempatan berlaku setiap kali musim hujan. Jika bahan buangan bertoksik, ia boleh menyebabkan sakit atau kematian.
"Ini adalah tangan-tangan manusia yang jahil dan tamak mengakibatkan ‘bencana kepada manusia’," jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Ibrahim berkata, kejadian bencana alam sekitar lazimnya lebih kecil daripada bencana alam, namun impaknya boleh menjadi lebih besar.
Beliau berkata, proses alam tetap terus berlaku walaupun tanpa gangguan manusia dan impaknya tidak dapat dielakkan jika mereka terlibat atau terperangkap dengan proses alam tersebut.
"Kita membuat rumah di dataran banjir, kita membina bangunan di atas atau bawah cerun curam atau kita tinggal berhampiran dengan mulut volkano.
"Oleh itu, jangan salahkan orang lain, jika kita terlibat dengan bencana alam, salahkan diri sendiri, pilihan sendiri atau takdir Ilahi. Ini yang saya katakan hidup bersama alam, bukannya menyalahkan alam," katanya.
Justeru beliau berkata, belajarlah hidup bersama alam dan amalkan tindakan pengurangan risiko bencana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
