Agong nasihat rakyat bersiap-sedia hadapi banjir besar


  • Primer
  • Rabu, 29 Dis 2021

AGONG berkenan melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Cermin, Mentakab, Pahang pada Isnin lalu. — Bernama

RAKYAT khususnya di negeri-negeri pantai timur, Johor dan Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.

Amaran itu dilontarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, titah nasihat Agong itu susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Januari yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi pada Isnin.

"Agong turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir juga peka terhadap ramalan dan amaran yang dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.

"Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang," menurutnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, bagi menzahirkan keprihatinan tinggi Agong terhadap kemaslahatan rakyat, Ahmad Fadil berkata, Baginda menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya urusan pasca banjir.

Sehubungan itu, Agong menasihati agensi-agensi kerajaan berkaitan dan PBT supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

Tambah Ahmad Fadil, Agong menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka berada di kawasan berkepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

"Baginda turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram