"KENAPA nak buka jalan seluas-luasnya? Kalau mereka kata kononnya nak buka jalan untuk tengok rafflesia (bunga pakma), mana boleh ia hidup jika ada manusia lalu lalang. Bunga ini sangat sensitif kepada manusia."
Itu luahan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkenaan video tular yang dirakamnya di Lata Jarum, Ulu Dong, Pahang pada Selasa.
Menerusi video berdurasi 2 minit 20 saat itu, kelihatan laluan sebesar lebuh raya dibuka ke dalam kawasan tersebut yang merupakan tempat pemuliharaan bunga pakma di Pahang kerana taburannya yang tinggi dan menjadi tumpuan para penyelidik.
Menurut Shariffa Sabrina, beliau pelik apabila melihat keadaan air yang keruh ketika melawat ke kawasan itu pada petang Selasa.
"Saya memang akan melawat kawasan itu setiap minggu dan ketika saya ke situ pada Selasa, air memang sedang naik.
"Cuma apa yang pelik, pada hari tersebut, airnya sangat keruh seperti warna teh tarik sedangkan kebiasaannya walau tinggi mana air naik atau lebat mana hujan, airnya tidak berwarna seperti itu.
"Ibarat ada pembukaan di kawasan hulu sungai tersebut, tapi mereka kata tiada pembalakan... Mungkin ada tanah runtuh, tapi hairan juga macam mana ada tanah runtuh dalam kawasan hutan simpan," katanya kepada Majoriti.
Beliau turut mempersoalkan kewujudan jentera-jentera berat dan batu kasaran di kawasan itu, dipercayai untuk membina jalan di kawasan hutan simpan itu.
Katanya, pekerja yang berada di situ mengakui bahawa terdapat rancangan untuk membina jalan, namun tidak dapat memberikan jawapan lebih lanjut mengenai tujuan jalan tersebut.
"Tauke itu cakap nak buat jalan, tapi dia kata tak tahu jalan apa, lepas tu saya masuk dan lihat tanah-tanah di situ semua mereka dah sodok masuk dalam sungai.
"Apa yang menyedihkan ialah apabila hujan turun di kawasan berkenaan, air sungai di situ akan menjadi keruh disebabkan tanah yang disodok masuk.
"Saya juga hairan, di Lata Jarum yang merupakan kawasan hutan simpan, juga menjadi tempat tinggal rafflesia, mereka boleh buka jalan seluas-luasnya seperti lebuh raya," luahnya.
Beliau turut meminta Jabatan Perhutanan Pahang untuk memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.
Dalam pada itu, Shariffa Sabrina mengakui bahawa beliau sudah lali dengan ugutan daripada pihak-pihak tertentu kerana keberaniannya melakukan pelbagai pembongkaran melibatkan pencerobohan dan pemusnahan alam sekitar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau turut mengakui menjadi individu yang paling dibenci oleh pihak berkuasa terbabit terutamanya Jabatan Perhutanan yang sering kali mengelak apabila diajak berjumpa.
"Saya cuma serahkan segala-galanya kepada ALLAH, saya pun dah lakukan pembongkaran seperti ini sejak dahulu lagi dan saya tidak akan putus semangat berjuang untuk kesejahteraan alam sekitar.
"Saya ada juga cuba berjumpa dan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan penjelasan tentang perkara sebegini, tetapi mereka tak suka saya, terutamanya pihak Jabatan Perhutanan. Pengarah dia tengok muka saya pun tak nak," dakwanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
