BEBERAPA pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang sesak dengan kehadiran orang ramai yang ingin mendapatkan suntikan dos penggalak, hingga dipercayai berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.
Platform media sosial kecoh pada pagi Khamis dengan pertanyaan daripada warga maya tentang lokasi PPV mana yang sesak dan vaksin apa yang masih ada untuk pengambilan secara walk-in.
"Hampir semua PPV mega penuh dengan orang ramai. Saya sendiri mengambil masa empat jam di One City, Puchong selepas melencong dari Subang Parade kerana barisan yang sangat panjang di sana,” kata seorang pengguna Facebook Sharon Seow.
Gambar dan video orang ramai beratur panjang di sebuah PPV yang terletak di tingkat dua pusat beli-belah Paradigm Mall juga tular selepas dikongsikan netizen.
"Saya tunggu lebih tiga jam tetapi giliran saya masih belum sampai. Barisan di hadapan saya langsung tidak bergerak," kata Yen Leng yang tiba di PPV tersebut pada jam 10 pagi Jumaat.
Mengalami nasib serupa, Derrick Low berkata, lebih baik diwujudkan satu sistem untuk individu yang datang secara walk-in, menerusi janji temu dan warga emas.
Sementara itu, situasi sama turut berlaku di Pusat Perubatan iHeal, Kuala Lumpur dan PPV Subang Parade.
Penerima vaksin, Izam Jalil berkata, dia kecewa selepas diberitahu bahawa vaksin AstraZeneca di Pusat Perubatan iHeal habis ketika sedang beratur menunggu giliran.
"Saya akhirnya buat keputusan untuk datang lebih awal esok (Sabtu)," katanya.
Dalam pada itu, seorang jururawat, Nathaniel Ly berkata, pengumuman mengenai tempoh sela masa dos penggalak yang dipendekkan dari enam ke tiga bulan dalam kalangan penerima AstraZeneca mencetuskan minat untuk mereka segera berbuat demikian.
"Bahkan ada PPV yang menyatakan bahawa stok vaksin AstraZeneca boleh diperoleh sehingga Jumaat, menyebabkan ramai terburu-buru untuk mengambil suntikan vaksin," katanya.
Dalam perkembangan sama, pengurusan Paradigm Mall ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengambil langkah segera untuk mengatasi situasi kesesakan di PPV terbabit.
"Kami telah mengkhususkan sebuah tempat menunggu selain menyediakan banyak kerusi untuk mereka.
"Selain itu, pemantauan penjarakan fizikal ketika beratur juga dibuat," katanya.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Koh Kar Chai berkata, situasi kesesakan di lokasi PPV tertentu amat membimbangkan.
"Pengambilan dos penggalak memang sangat penting, begitu juga keperluan menjaga penjarakan fizikal. Jangan sampai mereka yang pergi mendapatkan suntikan booster pula yang dijangkiti.
"Perkara ini perlu diambil secara serius kerana kita berdepan dengan varian yang lebih mudah menjangkiti," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram