PEMIMPIN yang berkaliber perlulah berpandangan jauh ketika membuat sesuatu keputusan ataupun dasar termasuk dalam isu pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar keputusan yang diambil akan memberi manfaat kepada rakyat serta negara untuk jangka masa panjang.
Biarpun keputusan itu mungkin menjadi bahan kritikan atau cemuhan rakyat, pemimpin tersebut perlu tegas dan berani berdepan dengan keputusan yang diambil supaya tidak memudaratkan rakyat pada akhirnya.
Pakar geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan berkata, beliau melihat ramai pemimpin pada hari ini hanya melihat sesuatu perkara secara luaran dan mengambil jalan penyelesaian untuk jangka masa pendek.
"Pemimpin yang baik perlu tegas dalam membuat keputusan dengan mengambil kira kepentingan awam dan kesan jangka masa panjang serta usah peduli dengan cemuhan yang diterima apabila keputusan itu dibuat.
"Ini kerana saya lihat ramai pemimpin politik sekarang hanya lihat kesan jangka masa pendek sedangkan apabila sesuatu keputusan itu dibuat, mereka perlu pertimbangkannya dari sudut positif dan negatif secara ke hadapan.
"Walaupun keputusan itu tidak disanjungi pada ketika ia dibuat, dalam masa ke hadapan, rakyat akan menghargai selepas kesan tersebut dirasai pada masa depan," katanya kepada Majoriti.
Pemimpin kena berani
Azmi berkata, mengambil contoh, apabila pemimpin cuba membantu mangsa banjir dalam situasi yang berlaku baru-baru ini, mereka dikatakan perlu turun ke padang dan menunjukkan kebersamaan dengan rakyat walhal perkara itu bukan satu keperluan.
Beliau menyifatkan dalam keadaan rakyat ditimpa kesusahan akibat bencana, sepatutnya pemimpin tertinggi perlu berani membuat keputusan seperti membenarkan pengeluaran KWSP dalam amaun tertentu khusus buat mangsa banjir selepas meneliti dan menilai kesan jangka masa pendek dan panjang
"Ya, turun padang bersama rakyat itu betul tapi ia juga bukanlah tugas utama pemimpin tertinggi. Pemimpin tertinggi tugasnya adalah menggubal dasar dan keputusan, sebenarnya tidak perlu sangat turun ke bawah dan mempamerkan mereka bersama-sama dengan rakyat.
"Tetapi apabila pemimpin memikirkan kesan jangka pendek, mereka dikatakan perlu bersama-sama rakyat mengharungi kesusahan. Bagi saya, kepimpinan mereka diperlukan dalam penggubalan dasar contohnya pengeluaran KWSP yang ada sangkut paut dengan polisi. Begitupun pengumuman berhubung KWSP yang dibuat agak negatif, jadi itu sebab saya katakan pemimpin kena berani," jelasnya.
Azmi juga sukar untuk memberikan contoh pemimpin yang disifatkan memiliki ketegasan sedemikian, namun memberi contoh terdekat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang berani mengambil keputusan tegas dalam perkara tertentu.
"Pemimpin pada masa lepas senang sikit beri contoh tapi pemimpin pada masa ini amat sukar. Nak bagi contoh paling dekat adalah Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau.
"Sejak jadi Menteri Kesihatan, beliau banyak buat keputusan berkaitan hal pandemik yang kadang kala tidak disenangi oleh rakyat. Misalnya pemakaian gelang untuk jemaah yang kembali daripada umrah.
"Jika hanya fikir jangka masa pendek, dia tidak akan buat keputusan itu kerana pasti tidak disukai oleh segelitir golongan yang kena tempuh kesukaran, tetapi Khairy memikirkan kesan masa depan, jadi beliau tetap dengan keputusan tersebut," ujarnya.
Justeru, Azmi berkata, kriteria berkenaan amat ditagih oleh rakyat pada masa ini daripada pemimpin yang sepatutnya menjuarai suara mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram