Harapan 2022: Rakyat mahu 8 ciri utama wajib sebagai pemimpin


  • Massa
  • Jumaat, 31 Dis 2021

PEMIMPIN yang baik perlu menyanjung sistem pentadbiran negara yang bertunjangkan sistem raja berperlembagaan dan demorasi berparlimen. — Gambar hiasan / Bernama

SIKAP dan cara segelintir pemimpin negara, terutama sekali dalam aspek kesiapsiagaan dan pengendalian menghadapi bencana banjir amat dikesali.

Kemarahan serta kekecewaan sebahagian rakyat dapat dilihat apabila mereka 'menyerang' pemimpin di kerajaan pusat dan kerajaan negeri, tidak kiralah sama ada di media sosial atau di kesempatan ketika bersua secara bersemuka.

Situasi itu seolah-olah menunjukkan rakyat hilang keyakinan terhadap pemimpin yang sepatutnya membela dan menjaga kebajikan mereka.

Sepatutnya, sebagai pemimpin yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat, mereka haruslah menjuarai hati rakyat dalam mendepani apa jua cabaran yang melanda.

Mengupas topik ini, timbul persoalan apakah ciri-ciri pemimpin idaman rakyat khususnya yang dikehendaki golongan belia pada masa kini? Apakah pula kriteria yang perlu ada pada diri mereka bagi membolehkan pemimpin tersebut disanjung serta dihormati?

Presiden Pemimpin Muda Universiti Malaya, Lim San Shien menyenaraikan beberapa ciri utama yang perlu ada pada diri seorang pemimpin untuk melayakkan beliau disanjung tinggi di mata rakyat.

pp (1)

SAN SHIEN menyifatkan pemimpin yang baik adalah yang bekerja untuk rakyat tanpa mengenal masa.

1) Memiliki latar belakang pendidikan cemerlang

Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang ada latar belakang pendidikan cemerlang contohnya berkelulusan ijazah ekonomi, undang-undang, kejuruteraan atau kelayakan tertentu selain berpengalaman dalam bidang pekerjaan mengikut kepakaran masing-masing. Ini mustahak bagi membolehkan mereka menyumbang kembali idea, kepakaran serta pengetahuan kepada rakyat serta negara.

2) Memiliki rekod prestasi yang baik

Rakyat boleh meneliti dan mengamati apakah sumbangan yang diberikan pemimpin tersebut dalam kerjaya, pencapaian dalam persatuan serta perkhidmatan pemimpin terbabit dalam aktiviti komuniti setempat.

3) Ada keperibadian, personaliti yang baik

Ini antara lain boleh dinilai menerusi ucapan, penulisan dan tutur kata di media sosial, di samping idea yang dikemukakan mampu memberi manfaat serta kemaslahatan kepada rakyat dan negara.

4) Ada asas perjuangan

Seeorang pemimpin itu perlulah proaktif untuk terus mengorak langkah dalam mendepani cabaran. Mereka perlu memiliki objektif jelas untuk menjadi seorang pemimpin yang baik tidak kiralah di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

5) Berani bawa pembaharuan

Pemimpin yang baik juga harus berani memperkenalkan dasar melalui idea yang kreatif dan inovatif untuk diketengahkan supaya dasar yang telah dirangka akan lebih inklusif serta komprehensif selain mencakupi kebajikan semua lapisan masyarakat termasuklah golongan dewasa, warga emas, wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya. Selain itu, mereka perlu ada rancangan yang realistik untuk membantu membela kebajikan rakyat tanpa mengenal masa.

6) Mesra rakyat

Pemimpin perlu ambil inisiatif untuk menyantuni rakyat dengan turun padang sendiri supaya memahami situasi yang berlaku di peringkat akar umbi. Di samping itu, mereka harus proaktif mengadakan sesi libat urus untuk dengar pandangan rakyat secara serius dan mengetengahkannya dalam sidang DUN atau Parlimen. Ini mustahak untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Selain itu, mereka juga harus cakna dengan isu-isu pembangunan setempat dan kenal pasti potensi kawasan masing-masing. Ini bertujuan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan mempercepatkan industri tempatan, membangunkan bakat orang ramai, meningkatkan keupayaan keusahawanan dan memastikan golongan belia dapat diperkasakan dari segi peranan masing-masing di samping aspek kelestarian pembangunan dapat diperkukuh.

7) Bersikap integriti dan bertanggungjawab

Pemimpin yang baik mesti ada pendirian teguh dan berlandaskan perjuangannya. Mereka perlu tunjukkan kesungguhan untuk mempertahankan integriti, amanah dan tanggungjawab kepada rakyat.

Pemimpin juga perlu menyanjung sistem pentadbiran negara yang bertunjangkan sistem raja berperlembagaan dan demorasi berparlimen selain mendokong prinsip-prinsip rukun negara dalam kehidupan seharian.

8) Jujur dan amanah

Pemimpin juga perlu jujur dan mematuhi undang-undang dalam melaksanakan tugas supaya dapat menjadi ikutan dan teladan baik kepada rakyat. Pemimpin yang baik juga harus mengangkat martabat rakyat dengan nawaitu yang jelas dan ikhlas untuk memastikan semua keputusan yang dibuat olehnya adalah menjurus kepada kebaikan dan kebajikan rakyat.

Secara kesimpulannya, sebagai pemimpin, mereka haruslah menunaikan janji mereka, merealisasikan aspirasi negara dan sentiasa berusaha membela nasib rakyat tanpa mengenal erti jemu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram