Wujudkan insurans komuniti, kerajaan perlu bantu


  • Massa
  • Selasa, 28 Dis 2021

RAMAI mangsa rugi puluhan ribu ringgit akibat banjir baru-baru ini.

SEJAK bencana banjir melanda hingga mengakibatkan kerugian besar kepada mangsa, ramai yang mula sedar berkenaan dengan kepentingan insurans sebagai perlindungan awal.

Selepas kejadian itu juga, muncul idea untuk mewujudkan insurans dengan dibantu kerajaan yang sepatutnya sudah dibincangkan sejak sebelum ini lagi.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, idea untuk wujudkan insurans ini sebenarnya perlu difikirkan sejak dahulu lagi.

"Kerajaan sebenarnya tidak mempunyai pelan jangka masa panjang untuk berhadapan bencana seperti ini sedangkan perkara ini sepatutnya dibincangkan dahulu lagi.

"Selepas ini pula, kalau nak berbincang mengenai isu ini, kena lebih ke hadapan lagi termasuklah menjangkakan apa sahaja bencana yang boleh melanda negara termasuk tsunami atau gempa bumi," katanya kepada Majoriti.

Menurut Barjoyai, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah dengan mewujudkan satu komuniti yang dilindungi insurans.

Jelasnya, sumber dana adalah menerusi bayaran sesama komuniti dan separuh daripadanya ditanggung oleh kerajaan.

"Sebab bila ada sebarang bencana alam, maka apa yang penting sekali ada duit yang boleh digunakan dengan kadar segera dan jika dilindungi insurans, maka dana itu sudah tersedia.

"Kelompok komuniti ini boleh jadi antara rukun tetangga di sesebuah kawasan perumahan atau menerusi surau," katanya.

Ujarnya lagi, semua pihak perlu tahu kepentingan insurans apatah lagi negara tidak mempunyai skim perlindungan sosial selain daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Itu pun kata Barjoyai, tidak boleh disimpan secara konsisten kerana boleh dikeluarkan untuk kegunaan lain seperti membeli rumah dan sebagainya.

"Sebab itu, kerajaan kena bertindak dan merancang awal supaya rakyat dapat dilindungi daripada musibah yang kita tak jangka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

massa, banjir, bencana alam, insurans, komuniti,