Kondo Sri Duta 1 tidak selamat, terdedah runtuhan lebih kritikal


  • 112
  • Isnin, 27 Dis 2021

KEADAAN tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Sri Duta 1 akibat hujan lebat luar biasa baru-baru ini. — Ihsan bomba

STRUKTUR bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, di Kuala Lumpur disahkan bermasalah dan terdedah kepada risiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

Pengesahan itu dibuat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) serta perunding yang dilantik pemaju perumahan tersebut.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, ia berikutan terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

"Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah tiang dengan dinding yang telah terpisah, rekahan permukaan akibat ketegangan di beberapa permukaan tanah serta keretakan di bawah lantai.

"Tanda-tanda ini menunjukkan keadaan di kawasan itu adalah tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

DBKL berkata, terdapat empat blok yang terkesan membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni telah dinasihatkan untuk berpindah atas faktor keselamatan.

"Pihak Badan Pengurusan Bersama telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

"Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan di dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera dan akan disemak oleh DBKL dan Ikram,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama Ikram juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan terbabit secara dekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram