POLIS sedang menyiasat sebuah majlis perkahwinan melibatkan pasangan selebriti susulan satu video tular yang memaparkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis berlangsung.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan satu video berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook, mengandungi rakaman majlis berkenaan.
Menurut beliau, majlis tersebut berlangsung pada 15 Disember lalu sekitar jam 8.30 malam di sebuah vila di Genting Highlands.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat tetamu yang tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial, sekali gus melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa Empat.
"Polis akan mengesan dan mengenal pasti kesemua individu yang hadir dalam majlis perkahwinan itu bagi membantu siasatan mengikut Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Zaiham meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai insiden berkenaan dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram