Murahnya nyawa anak-anak


  • Tular
  • Selasa, 28 Dis 2021

TANGKAP layar video kanak-kanak yang duduk di tepi tingkap ketika kereta dinaiki mereka sedang bergerak.

NILAI nyawa kanak-kanak kini ibarat boleh dibeli di pasar malam, apabila orang dewasa yang tidak bertanggungjawab sanggup membiarkan mereka berada dalam ambang bahaya.

Baru-baru ini, tular video seorang pemandu kereta Perodua Alza yang membenarkan tiga kanak-kanak duduk di tepi tingkap ketika kereta itu masih bergerak di jalan raya.

Video berdurasi 15 saat itu memaparkan seorang kanak-kanak perempuan duduk di tepi tingkap dekat tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta itu.

Sementara itu, dua lagi kanak-kanak iaitu perempuan dan lelaki masing-masing duduk di tepi tingkap, di tempat duduk penumpang bahagian belakang di kanan dan kiri.

Ketiga-tiga kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun itu, dipercayai mahu menghirup udara sambil menikmati pemandangan di luar kereta ketika kenderaan itu bergerak.

Tindakan itu sekali gus mencetuskan kegusaran sekiranya mereka terjatuh serta membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya lain.

Majoriti masih belum dapat memastikan masa dan lokasi sebenar kejadian itu berlaku, manakala tiada sebarang kenyataan pihak polis dikeluarkan setakat ini.

Perkara itu mendapat perhatian netizen yang lincah menggunakan kuasa kecaman di media sosial.

Pengguna Facebook dikenali Farida Rashid menyifatkan tindakan pemandu dan kanak-kanak terbabit seperti kurang kasih sayang dan sengaja mencari perhatian orang ramai.

"Jadi kita perhati je tak payah buat apa," katanya.

Hayati Yati dengan sinis berkata, nyawa kanak-kanak tersebut ada dijual di kedai dan boleh ditukar ganti.

"Kalaulah terlepas tangan tu, jatuh tak pasal je mendapat," tambahnya.

Hanita Yaakob menulis: "Baru pertama kali naik kereta kot. Yang bawa kereta tu siapa? Kalau bapa atau mak memang parok (teruk) sangat la," — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram