Tambah aset baharu untuk misi menyelamat — Cuepacs


  • Massa
  • Selasa, 28 Dis 2021

ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang mangsa banjir di Taman Mutiara Dengkil, Sepang, Selangor pada 19 Disember lalu. — Bernama

KONGRES Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan agar memberi perhatian sewajarnya kepada pasukan keselamatan negara terutamanya dalam menambah aset-aset baharu yang sesuai untuk misi penyelamatan.

Ujar Presidennya, Datuk Adnan Mat, perkara tersebut sudah lama tidak diberi perhatian sehinggakan ada anggota keselamatan terpaksa menggunakan pakaian kurang sesuai dalam operasi menyelamat.

"Aset dan peralatan yang lengkap serta sesuai membolehkan kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa mengundang risiko kepada anggota itu sendiri," jelasnya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Adnan, kerajaan juga tidak menambah anggota keselamatan sehingga menyebabkan berlaku kesukaran dalam proses menyelamat mangsa banjir di Lembah Klang tempoh hari.

"Kepadatan penduduk di Lembah Klang menyaksikan anggota keselamatan tidak mencukupi untuk digerakkan ke semua kawasan.

"Bayangkan di sesebuah taman di bandar mempunyai lebih daripada 1,000 penduduk, berbeza di kawasan kampung yang hanya mempunyai ratusan penduduk," menurutnya.

Sementara itu, Adnan turut menzahirkan rasa terkilan dengan beberapa kenyataan oleh segelintir pihak terutamanya warganet yang mendakwa pasukan keselamatan lewat menyalurkan bantuan sewaktu bencana banjir tempoh hari.

"Tuduhan itu adalah tidak berasas kerana semua pasukan keselamatan digerakkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Banjir luar biasa yang jarang berlaku di Lembah Klang dengan paras air yang naik terlalu cepat menyukarkan proses menyelamat.

"Proses menyelamat juga menjadi sukar apabila terdapat penduduk yang enggan berpindah ke kawasan selamat ketika keadaan masih terkawal," katanya.

Banjir Anggota 1

BILANGAN anggota keselamatan yang tidak mencukupi menyukarkan proses menyelamat. — Bernama

Selain itu, Adnan juga memaklumkan ada anggota keselamatan yang terpaksa meninggalkan rumah serta keluarga sendiri demi menyelamatkan orang awam.

"Saya difahamkan terdapat lebih 300 buah rumah milik anggota keselamatan turut ditenggelami air banjir.

"Terdapat juga anggota yang terperangkap dalam rumah masing-masing ketika banjir," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram