'Tak sangka cepat terima bantuan walaupun tak isi borang'


  • Massa
  • Selasa, 28 Dis 2021

MOHD Zuki (depan, kiri) menyantuni sambil menyampaikan sumbangan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir dari enam buah kampung yang terlibat di Temerloh pada Selasa. — Bernama

PENGAWAL keselamatan, Siti Alama Dollah tidak menyangka dirinya terpilih untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) kerana tidak pernah mengisi apa-apa borang sejak rumahnya dilanda banjir minggu lalu.

Siti Alama, 49, yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tualang, Temerloh berkata, dia hanya diminta untuk ke dewan sekolah pada Selasa untuk menerima "bantuan” yang diberikan secara terus.

"Saya tanya jika ada borang nak diisi, tapi mereka kata nama diperoleh menerusi senarai penghuni PPS. Cepat bantuan diterima kerana saya masih belum mendaftar keluar dari PPS memandangkan rumah masih belum sempat dibersihkan walaupun air sudah surut beberapa hari lepas.

Alhamdulillah dengan rezeki ini kerana masih banyak yang hendak dilakukan... tak dapat nak selamatkan banyak barang kerana banjir berlaku semasa saya baru hendak menamatkan syif malam," katanya kepada Bernama semasa ditemui di PPS itu.

Siti Alama antara 132 ketua isi rumah terjejas banjir di PPS itu yang menerima sumbangan BWI disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dia yang mengenakan pakaian seragam kerja berkata, hanya sempat mengambil sedikit pakaian dan barangan penting sebelum bergegas ke PPS itu, kerana banjir berlaku tanpa dijangka selain paras air naik mendadak, agak berbeza daripada kejadian sebelum ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Muhammad Balqis Azizul Rahim, 31, pula berhasrat menggunakan wang sebanyak RM1,000 itu untuk membaiki dinding dan bahagian bersimen rumahnya di Kampung Bangau Parit, Temerloh yang rosak akibat arus kuat banjir.

"Saya sudah balik ke rumah kelmarin dan nampak agak banyak juga yang perlu diganti. Nasib baik dapat bantuan kerana kami sudah mengeluarkan wang untuk membaiki simen yang pecah juga akibat banjir pada awal tahun ini... tak sangka banjir kali ini berlaku dua kali.

"Alhamdulillah bantuan kali ini cepat. Jadi kerja membaik boleh dimulakan sebaik sahaja rumah selesai dibersihkan kerana tak tahan nak tengok keadaan begitu lama-lama," katanya yang merupakan seorang juruelektrik.

Bagi Abdul Latif Ibrahim, 50, yang tinggal di Kampung Seberang, Temerloh wang itu akan digunakan sebaiknya untuk membeli peralatan sekolah anaknya yang berada di Tingkatan Satu dan Tiga memandangkan banjir berlaku sebelum sesi persekolahan dibuka semula.

Dia yang bekerja sebagai jurukimpal berkata, tidak menyangka dirinya akan menerima bantuan itu, kerana melihat ramai mangsa banjir lebih teruk malah ada yang rumah tenggelam hingga paras bumbung berbanding rumahnya yang dinaiki air sehingga paras paha.

"Ini kali ketiga kami dilanda banjir sejak berpindah ke sini pada tahun 2017. Jadi bila dengar daerah atas Lipis dan Raub sudah banjir, kami sudah membuat persediaan seperti mengalihkan kereta dan barangan. Cuma tak sangka ada juga yang masih ditenggelami air.

"Tapi kerosakan ini boleh dibaiki perlahan-lahan... lebih baik utamakan sekolah anak-anak," katanya.

Bagi penduduk Kampung Bangau Parit, Muziana Abdul Rahman, 37, wang itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan yang musnah akibat banjir terutamanya peralatan elektrik yang penting, memandangkan dia masih tidak tahu jika barangan tersebut masih elok untuk digunakan.

Dia juga menyifatkan wang itu sebagai "rezeki lebih” untuk meringankan beban kewangan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori, untuk membaiki kerosakan yang berlaku. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram