NGO enggan bayar tol guna alasan hantar bantuan


  • Tular
  • Isnin, 27 Dis 2021

TANGKAP layar video sebuah NGO enggan dikenakan bayaran tol mencetuskan pertikaian.

TATKALA kenderaan bomba dan penyelamat dikecualikan daripada dikenakan bayaran tol, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan mendesak supaya hak sama rata diberikan kepada mereka.

Menerusi sebuah video tular di media sosial, dua lelaki dari NGO terbabit hanya menunjuk langkah kurang bijak, apabila merakam detik pertengkaran dengan jurutol selepas kehendak mereka untuk menggunakan lebuh raya secara percuma tidak dilayan.

NGO tersebut mendakwa bahawa mereka secara sukarela memberi bantuan kepada orang ramai dan atas alasan itu mereka perlu dikecualikan daripada dikenakan bayaran tol.

Jurutol itu bagaimanapun enggan mengikut kehendak dan tampil membidas kembali dengan menjelaskan bahawa kumpulan NGO tersebut tidak layak untuk dikecualikan daripada bayaran itu.

"Bomba under (di bawah) kerajaan terkecuali. Sukarela kena bayar, polis bantuan, penjara, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) pun kena bayar," kata jurutol tersebut sambil bergegas masuk ke dalam pondok bayaran selepas menyedari dirinya dirakam.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, NGO berkenaan mempertikaikan kenyataan jurutol itu namun tidak diendahkan.

"Kami mari untuk tolong orang sahaja. Alamak," katanya.

Majoriti masih lagi tidak dapat memastikan masa dan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

Mengulas mengenai perkara itu, seorang pengguna Facebook dikenali Wan Kutsuya tampil mempersoalkan NGO terbabit sekiranya mereka baru pertama kali memasuki lebuhraya.

Katanya, agensi keselamatan yang melalui plaza tol sahaja yang tidak perlu dikenakan bayaran.

"Hang (awak) ni nak bagi bantuan tetap kena bayar. Ingat nak buat baik boleh lalu free (percuma)? Nak masuk tandas pun kena bayar, ini kan pula highway (lebuh raya)," katanya.

Pada masa sama, Nazrin Manshor berkata, setiap nombor plat kenderaan kerajaan yang keluar masuk plaza tol seperti bomba, polis, ambulans dan sebagainya akan dicatit oleh jurutol yang bertugas.

"Jadi, kenderaan sukarelawan bomba ni mesti tak ada dalam list (senarai) kenderaan kerajaan. Mesti kena bayar tol," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

plaza tol, NGO, jurutol, bayar, gaduh