Indonesia jadi sasaran Perjanjian Abraham


  • Benua
  • Isnin, 27 Dis 2021

BLINKEN (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Retno pada 14 Disember lalu. — Agensi

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken tidak menolak kemungkinan bahawa Indonesia bakal mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia Teuku Faizasyah berkata, perkara itu dibangkitkan ketika Blinken melawat Indonesia bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Retno Marsudi pada pada 13 Disember dan 14 Disember lalu.

Namun, Faizasyah berkata, Retno ketika pertemuan itu menyatakan pendirian tegas bahawa Indonesia akan tetap bersama rakyat Palestin untuk memperjuangkan keadilan dan kemerdekaan.

Indonesia yang juga negara majoriti Muslim terbesar di dunia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel kerana sokongannya terhadap perjuangan Palestin.

Sebelum ini, Blinken berkata, Presiden AS Joe Biden berusaha untuk membina Perjanjian Abraham selain melihat luar Timur Tengah sebagai negara terbesar yang tidak mengiktiraf Israel.

Dia menambah, AS dan Israel juga membincangkan kaedah untuk mengembangkan Perjanjian Abraham dalam beberapa bulan kebelakangan ini, serta menyasarkan Indonesia sebagai negara seterusnya bagi memeterai perjanjian itu.

Perjanjian Abraham merujuk kepada perjanjian antara Israel dan empat negara majoriti Islam iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan sebagai langkah untuk menormalkan hubungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa AS Adam Bohler dalam temu bual dengan Bloomberg pada Disember tahun lalu berkata, lebih banyak modal ke Indonesia boleh digunakan sekiranya negara itu menjalin hubungan normalisasi dengan Israel.

Sementara itu, jurucakap kepada Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto terpaksa mengeluarkan komen yang mengesahkan komitmen menteri itu terhadap perjuangan Palestin, apabila beliau dilihat bergambar dengan seorang diplomat Israel semasa persidangan di Bahrain pada November. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram