128 pelajar UIAM Gombak diarah kosongkan asrama


  • 112
  • Isnin, 27 Dis 2021

TANGKAP layar mendapan tanah dan tanah runtuh di kawasan bangunan asrama UIAM Gombak. — Facebook

SERAMAI 128 pelajar lelaki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor diarah mengosongkan asrama mereka selepas berlaku tanah runtuh dan mendapan jalan di kawasan bangunan terbabit.

Menurut Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi selepas menerima laporan pada jam 9 malam Ahad.

"Saksi yang juga pelajar di UIAM memaklumkan, kejadian tanah runtuh itu berlaku kira-kira jam 6.45 petang ketika hujan lebat dan mereka diarahkan mengosongkan bangunan asrama.

"Pemantauan yang dilakukan mendapati tiada kesan rekahan pada dinding atau lantai bangunan, " katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Zulfikar, mendapan jalan berlaku dengan anggaran keluasan lima meter persegi dengan kedalaman kira-kira tiga meter.

"Pihak pengurusan UIAM sudah menutup kawasan tersebut dengan meletakkan kon dan sawar-sawar dan menghubungi Konsultan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut, " katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram