Tiada pengeluaran KWSP untuk mangsa banjir


  • Primer
  • Ahad, 26 Dis 2021

ISMAIL Sabri menyaksikan sendiri kesan banjir ekoran hujan lebat baru-baru ini di Hulu Langat, Selangor. — Bernama

KERAJAAN tidak berhasrat untuk meluluskan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 walaupun ramai yang terkesan banjir banjir baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berikutan jumlah bantuan yang telah diumumkan sebelum ini.

"Pengeluaran KWSP akan memberi risiko seseorang itu menjadi miskin tegar selepas pencen apatah lagi sebelum ini sudah ada pengeluaran i-Sinar dan i-Citra.

"Kita juga sudah mengumumkan banyak bantuan sebelum ini termasuklah daripada TEKUN yang menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

"Malah, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan beri pinjaman persendirian RM10,000 tanpa faedah dan moratorium selama enam bulan," katanya dalam sidang akhbar di Masjid Al-Muttaqin, Hulu Langat, Selangor pada Ahad.

Menurut Ismail Sabri, buat masa ini ramai pencarum KWSP mempunyai simpanan yang terhad untuk hari tua mereka.

Jelasnya, rekod juga menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus pencarum hanya tinggal baki RM1,000.

"Kalau RM1,000, apabila pencen nanti, automatik mereka akan jadi miskin tegar. Ini yang saya risaukan.

"Malah hampir 95 peratus daripada pencarum yang miliki baki simpanan RM1,000 itu adalah dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera. Kita kena sedar perkara ini," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram