BEBERAPA kawasan di Kelantan dan Terengganu diramal bakal mengalami banjir pada 30 dan 31 Disember depan, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPS pada Sabtu, ia berdasarkan Ramalan Cuaca Signifikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi tarikh 25 Disember hingga akhir tahun.
Jelas kenyataan itu, dua kawasan di Kelantan, iaitu Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan di sekitarnya diramal banjir antara pukul 8 malam (30 Disember) dan 8 pagi keesokan harinya berikutan jangkaan kenaikan aras air melepasi aras bahaya di Sungai Galas di Limau Kasturi dan Dabong serta Sungai Kelantan di Kuala Krai.
Selain itu, banjir juga dijangka bakal berlaku di daerah Dungun dan kawasan sekitarnya di Terengganu berikutan aras air di Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dijangka naik melepasi aras bahaya.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan bersiap sedia serta sentiasa berwaspada dan peka dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram