Waspada ketidaktentuan cuaca 27 hingga 29 Disember ini — PM


  • Primer
  • Jumaat, 24 Dis 2021

ANGIN kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut China Selatan dan Pantai Timur Semenanjung mulai 26 hingga 29 Disember ini. — Bernama

SEMUA pihak perlu berwaspada dengan ketidaktentuan cuaca sepanjang bulan ini, kata Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan luruan monsun pada 27 hingga 29 Disember ini dengan hujan berterusan di timur Sabah dan barat Sarawak.

Justeru beliau mengerahkan semua agensi bertanggungjawab supaya sentiasa bersedia dan berwaspada sekiranya menghadapi gelombang kedua, termasuk pasukan keselamatan diletakkan secara strategik di kawasan berisiko tinggi.

“Orang ramai diminta berjaga-jaga kerana angin kencang dan laut bergelora turut diramal berlaku di perairan Laut China Selatan termasuklah kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung mulai 26 Disember hingga 29 Disember,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Ismail Sabri turut meminta semua pihak bersedia menghadapi sebarang dugaan dan mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan di Facebook, Perdana Menteri menzahirkan rasa terharu dengan pengorbanan pasukan keselamatan sepanjang bertugas melaksanakan operasi bantuan banjir.

“Ketika mereka bertarung nyawa menyelamatkan mangsa, ada sebahagian anggota keselamatan turut kehilangan rumah dan harta benda, malah tidak tahu ke mana ahli keluarga mereka dipindahkan akibat bencana.

"Mereka sanggup berkorban dan mengetepikan kepentingan diri demi keselamatan negara dan Keluarga Malaysia. Terima kasih frontliners (barisan hadapan), terima kasih semua!,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram