Banjir: Peniaga jangan ambil kesempatan — KPDNHEP


  • Primer
  • Khamis, 23 Dis 2021

KPDNHEP memperkenalkan SHMMP Krismas, yang berkuat kuasa bermula hari ini hingga 31 Disember 2021. — The Star

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga bahawa tindakan akan diambil jika mereka mengambil kesempatan daripada situasi banjir ketika ini dengan menaikkan harga barangan asas.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada masa sama kementerian sentiasa mengawasi dan memantau harga barangan, terutama ketika musim banjir.

"Kami akan mengambil tindakan undang-undang jika mereka didapati berbuat demikian. Buat masa ini kami masih belum menerima apa-apa laporan kenaikan harga.

"Kami ada kaedah sendiri untuk menentukan sama ada peniaga tersebut melanggar skim harga atau sebaliknya. Terdapat beberapa kenaikan (harga) bagi barangan tertentu tetapi semuanya berada dalam lingkungan had yang dibenarkan,” katanya kepada wartawan selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau menambah, kementerian telah memperkenalkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas, yang berkuat kuasa bermula hari ini (Khamis) hingga 31 Disember 2021.

Nanta berkata kementerian akan terus mencari jalan bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir.

"Kami mempunyai banyak sumber sumbangan daripada kilang dan pasar raya. Malah ketika tiada bencana alam pun, kami masih boleh mengumpulkan bantuan. Kami akan gunakan bantuan itu sebagai sebahagian daripada program bank makanan bagi membantu mereka yang memerlukan barangan asas terutama makanan,” katanya.

Terdahulu, Nanta menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM80,000 daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kepada penduduk daerah Hulu Langat, Shah Alam dan Puchong termasuk pekerja MyIPO yang terkesan akibat bencana banjir.

Penyaluran sumbangan ini adalah bagi meringankan beban mangsa banjir yang terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram