Lemas cuba redah banjir tunggang motosikal di Felda Chini 2


  • 112
  • Khamis, 23 Dis 2021

MAYAT mangsa ditemui pada jam 3.40 petang di lokasi berdekatan dia dilihat terjatuh sebelum tenggelam.— Ihsan PDRM

SEORANG lelaki yang dikhuatiri lemas dalam satu kejadian di Felda Chini 2, Pekan ditemui oleh Polis Pahang pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, mangsa Che Rustam Che Su, 36, ditemui lemas selepas tenggelam bersama motosikalnya ketika meredah jalan dinaiki air di sebuah ladang kelapa sawit.

Katanya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa bersama abang dan ayahnya dalam perjalanan ke ladang dengan menaiki motosikal secara berasingan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, berlaku air bertakung di laluan tersebut dan mangsa cuba meredah air sebelum tiba-tiba tenggelam bersama motosikalnya.

"Mangsa yang tidak pandai berenang dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau,mayat mangsa ditemui pada jam 3.40 petang di lokasi berdekatan dia dilihat terjatuh dan tenggelam.

Jelasnya lagi, lokasi mangsa lemas merupakan jalan rendah dan ditenggelami air sedalam kira-kira lima meter dengan jarak jalan yang dinaiki air sepanjang 20 meter.

"Mangsa mungkin tidak menyangka air di laluan itu begitu dalam dan cuba menyeberanginya.

" Pihak polis bersama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat menggunakan sebuah bot pada 10.50 pagi," ujarnya.

Katanya lagi, mayat mangsa berjaya ditemui dan dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram