Cabaran meramal perubahan cuaca ketika krisis iklim


  • Primer
  • Jumaat, 24 Dis 2021

METMALAYSIA bertanggungjawab terhadap laporan cuaca harian negara. — FAIHAN GHANI/The Star

PERUBAHAN iklim benar-benar melanda negara pada pertengahan Disember ini.

Purata suhu yang lebih tinggi berpunca daripada iklim yang lebih panas bermakna, lebih banyak air disejat dari darat dan laut, yang membawa kepada penurunan hujan yang melampau.

Dalam erti kata lain, semakin panas Malaysia, semakin banyak hujan yang akan kita terima – seperti yang dialami negara bermula pada 17 Disember lalu, dan berterusan selama beberapa hari, membawa kepada beberapa insiden banjir terburuk yang pernah berlaku di semenanjung.

Pihak polis mengumumkan seramai 37 maut dan 10 masih hilang setakat 23 Disember, dan berjuta-juta kerosakan harta benda dan infrastruktur dilaporkan.

Tetapi berapa banyak lagi musim hujan yang kita akan hadapi?

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia – yang dikenali sebagai MetMalaysia – purata suhu tahunan antara 1981 dan 2020 meningkat pada kadar 0.02ºC setiap tahun, atau 0.2ºC setiap dekad.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, kenaikan 1ºC boleh membawa kepada peningkatan 7% dalam bentuk hujan. Ini menurut Laporan Penilaian Keenam Panel Antara Kerajaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (dikeluarkan pada Ogos 2021) dan Komunikasi Nasional Ketiga Malaysia kepada panel itu.

“Terdapat peningkatan dalam trend purata suhu tahunan walaupun ia tidak begitu drastik. Tetapi ia masih boleh memberi kesan kepada cuaca di negara kita,” katanya.

Peningkatan hujan, kata Muhammad Helmi, boleh dikaitkan dengan ribut petir yang ekstrem, yang boleh menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh yang lebih kerap serta pancutan air dan tanah, dan juga hujan batu.

Beliau memberi contoh kejadian banjir besar pada 2006, 2007 dan 2014 di Johor dan Kelantan sebagai contoh kejadian hujan yang ekstrem.

Berdasarkan pemerhatian MetMalaysia, Muhammad Helmi berkata, purata suhu tahunan tertinggi yang pernah dicatatkan di negara ini adalah pada 2016 iaitu 27.84ºC, 0.87ºC melebihi paras normal.

Ini diikuti pada tahun 1998, 2019 dan 2020, katanya. Malah, berdasarkan rekod antara 1951 dan tahun lalu seperti yang dikeluarkan MetMalaysia, sembilan daripada 10 tahun terhangat di negara ini berlaku dalam tempoh 20 tahun yang lalu sejak 2000, kecuali pada 1998.

"Suhu tertinggi tertinggi yang pernah direkodkan di Malaysia ialah 40.1ºC di Chuping, Perlis, pada 9 April 1998,” kata Muhammad Helmi.

Tahun itu juga menyaksikan salah satu fenomena El Nino yang paling dahsyat dalam sejarah direkodkan, di mana saintis mengatakan bahawa suhu udara meningkat sebanyak 1.5ºC berbanding 0.25ºC yang biasanya dikaitkan dengan fenomena cuaca global itu.

“Kenaikan suhu juga boleh menyebabkan gelombang haba dan jerebu menjadi lebih ekstrem,” tambah Muhammad Helmi.

Rakyat Malaysia, katanya, mesti sedar bahawa bencana alam akibat perubahan iklim kini tidak dapat dielakkan.

“Tetapi dengan pengetahuan, perancangan dan persediaan awal, kita boleh meminimumkan kesan ke atas kematian dan kerosakan harta benda.

“Oleh itu, orang ramai perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam dan sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini oleh MetMalaysia di kawasan mereka.”

Muhammad Helmi explaining a satellite image at MetMalaysia headquarters. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Muhammad Helmi menerangkan mengenai imej satelit di ibu pejabat MetMalaysia. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Daripada carta di atas kertas kepada imej satelit

Dengan banjir dan taufan yang semakin meningkat, mendapatkan maklumat terkini tentang cuaca adalah penting dan dapat menyelamatkan nyawa. Ia dapat memberi masa kepada kakitangan beruniform untuk bersedia ditempatkan di kawasan yang menghadapi bencana. MetMalaysia terpaksa berubah mengikut peredaran masa untuk mencapai matlamat ini.

Apabila Muhammad Helmi mula menyertai Jabatan Meteorologi Negara pada 1980-an, kaedah meramal cuaca adalah dengan melihat kepada carta di atas kertas. Ketika itu, negara tidak mempunyai model ramalan cuaca sendiri dan perlu bergantung pada model yang dihasilkan oleh negara lain untuk mencuba dan meramal sama ada cuaca pada keesokan hari akan hujan atau cerah.

Muhammad Helmi berkata, beliau masih ingat pada masa dahulu ketika perlu mengkaji butiran carta yang dibentangkan di atas meja atau pada papan.

"Pada masa itu, kami terpaksa merencana cuaca harian menggunakan tangan," cerita lelaki berusia 57 tahun itu, yang dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah), salah satu tempat yang penting ketika beliau mula bertugas.

Syukurlah, teknologi moden pada masa kini menjadikan kaedah ramalan cuaca harian lebih mudah.

Malaysia kini mempunyai model ramalan cuaca sendiri dan imej satelit secara langsung yang boleh dipaparkan pada papan elektronik gergasi, manakala kakitangan bekerja menggunakan komputer dan seismograf yang canggih.

Ketika The Star melawat MetMalaysia di ibu pejabatnya di Jalan Sultan, Petaling Jaya, baru-baru ini, imej dari satelit Himawari Jepun dan Feng Yun China menjejaki titik merah – tanda kemungkinan cuaca buruk bakal berlaku – merentasi Lautan Hindi.

Pertama kali ditubuhkan pada 1958 sebagai Pejabat Perkhidmatan Meteorologi Malaya di Lapangan Terbang Simpang di Kuala Lumpur – juga dikenali sebagai Pangkalan Udara Sungai Besi – pejabat itu sudah mengalami pelbagai perubahan apabila peranannya semakin berkembang.

Perubahan angin

Ketika ditemubual, Muhammad Helmi mengakui bahawa dengan perubahan iklim yang berlaku, peranan jabatan kini menjadi lebih berat dan kerja ramalan semakin mencabar.

Lazimnya, adalah lebih sukar untuk meramalkan cuaca bagi negara beriklim tropika seperti Malaysia berbanding negara beriklim sederhana seperti Jepun dan negara di Eropah yang mempunyai empat musim. Tetapi, ia menjadi lebih mencabar apabila perubahan iklim menimbulkan malapetaka dengan cuaca dan corak angin yang mapan, sama seperti apa yang berlaku dengan angin monsun bermusim.

“Kita boleh melihat perubahan drastik pada cuaca di negara kita, seperti ribut petir yang lebih kuat dan lebih banyak kejadian seperti pancutan air, pancutan darat dan juga hujan batu, yang jarang berlaku pada masa lalu.

"Terdapat juga peningkatan dalam bilangan kejadian cuaca ekstrem - peningkatan dalam kedua-dua intensiti dan kekerapan," kata Muhammad Helmi.

“Ini menimbulkan cabaran baharu kepada MetMalaysia kerana pengetahuan mengenai kejadian sebegini pada masa ini agak terhad.

"Cabaran utama bagi kami adalah untuk menentukan bila dan di mana kesan tinggi atau kejadian cuaca ekstrem itu akan berlaku," jelasnya.

Beliau menambah bahawa jabatan itu masih mengkaji petunjuk atau tanda yang boleh membantu ramalan yang lebih baik, dan melihat bila dan di mana kejadian cuaca ekstrem mungkin berlaku.

"Contoh penunjuk sedemikian ialah corak angin. Kita semua tahu bahawa antara Ogos dan September tahun ini, monsun barat daya adalah lemah, keadaan yang dikenali sebagai monsoon break.

“Apabila musim hujan tiba, angin bertiup dari pelbagai arah dan agak lemah menyebabkan banyak ribut petir berlaku.

“Monsun barat daya sepatutnya menjadi tempoh yang lebih kering bagi kami. Sebaliknya, kita mengalami banyak ribut petir sehingga mengakibatkan banjir kilat, termasuk yang berlaku di Yan baru-baru ini,” jelasnya.

Pada pertengahan Ogos, enam orang maut dalam tanah runtuh dan lebih 1,000 lagi terjejas akibat banjir kilat yang teruk berikutan hujan lebat di daerah Yan, Kedah.

Hujan lebat menyebabkan kepala air mencurah-curah di tepi Gunung Jerai, dan gambar serta klip video jalan berlumpur, kereta ditenggelami air, pokok tumbang dan penduduk yang basah kuyup tular di media sosial.

Satellite (left) and radar images from MetMalaysia’s website, met.gov.my, captured on Dec 24. The 63-year-old department uses the latest technology in its efforts to keep track of weather patterns over Malaysia. — Screen capture

Imej satelit (kiri) dan radar dari laman web MetMalaysia pada 24 Disember. Jabatan berusia 63 tahun itu menggunakan teknologi terkini dalam usaha menjejaki corak cuaca di Malaysia.

Terlalu panas

Walaupun saintis dan petugas ramalan cuaca bersetuju bahawa pemanasan global menyebabkan penyejatan lebih banyak lembapan dari darat dan laut, yang menjadi punca kepada hujan yang lebih lebat, mereka masih berusaha untuk meramalkan kejadian cuaca ekstrem dengan lebih baik.

Untuk mengesan petunjuk yang lebih baik kepada peristiwa ekstrem ini pada masa hadapan, MetMalaysia telah memulakan beberapa langkah, termasuk menaik taraf 60 stesen pemerhatian manual sedia ada kepada stesen automatik serta membina stesen baharu, dan memberi latihan tambahan untuk kakitangannya.

Lapan stesen radar baharu dijangka siap tahun depan – di Kuala Gula di Perak; Rompin, Temerloh dan Cameron Highlands di Pahang; Marang di Terengganu; Kuala Krai di Kelantan; Sibu di Sarawak; dan Tawau di Sabah.

“Mudah-mudahan dengan stesen radar baharu ini kita akan dapat memantau dan memerhati cuaca di hampir seluruh Malaysia,” kata Muhammad Helmi.

Lebih penting lagi, jabatan itu sedang dalam usaha membangunkan sistem yang mampu meramal cuaca beberapa bulan lebih awal atau memberikan unjuran bahkan hingga tahun 2100.

Ini, kata Muhammad Helmi, akan membolehkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak pengurusan sumber air merancang dengan lebih baik dan mengambil tindakan awal sekiranya berlaku banjir atau kemarau.

"Unjuran sehingga 2100 berdasarkan model CMIP6 yang diperkecilkan dan laluan sosioekonomi yang dikongsi akan membolehkan simulasi yang lebih baik dan lebih tepat mengenai keadaan iklim negara kita pada masa hadapan," katanya.

Coupled Model Intercomparison Project, atau CIMP, yang kini dalam fasa enam, adalah rangka kerja yang membolehkan saintis iklim di seluruh dunia bekerjasama dan meningkatkan pengetahuan mereka tentang perubahan iklim. Model tersebut adalah berasaskan komputer bagi iklim di Bumi di mana atmosfera, lautan, daratan atau ais 'digandingkan' bersama-sama untuk berinteraksi dalam simulasi.

Ditanya sama ada MetMalaysia akan mempertimbangkan untuk merekrut bantuan saintis iklim untuk lebih memahami dan meramalkan kejadian ekstrem, Muhammad Helmi berkata, adalah lebih baik untuk memastikan pembinaan kapasiti untuk kakitangannya sendiri.

“Apabila diterima dalam perkhidmatan itu, kakitangan kami perlu menjalani latihan selama setahun sebelum ditempatkan di pejabat meteorologi untuk setahun lagi atau beberapa tahun.

“Mereka perlu bekerja di pejabat meteorologi ini sekurang-kurangnya setahun supaya mereka tahu keadaan cuaca di kawasan itu semasa musim monsun yang berbeza.

“Mereka lebih mengetahui cuaca dan iklim negara ini kerana mereka sudah lama dalam bidang itu,” katanya sambil menambah bahawa jabatan itu baru-baru ini mempunyai salah seorang pegawainya yang diiktiraf sebagai pakar subjek di bawah skim perkhidmatan awam.

"Kami mempunyai empat lagi pegawai dalam laluan kerjaya yang sama," tambahnya.

MetMalaysia officers Nur Faizah Mohamad (left) and Nadira Janius interpreting data at their workstations.

Pegawai MetMalaysia, Nur Faizah Mohamad (kiri) and Nadira Janius menginterpretasi data yang ditunjukkan. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star.

Bergerak ke hadapan

Terdapat juga rancangan untuk memindahkan ibu pejabat MetMalaysia yang terletak di jalan yang sempit dan sibuk ketika ini dan berkongsi tempat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Kimia di Petaling Jaya ke satu tapak di Labu, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa KL menjelang 2024 atau 2025.

Tetapi, perkara itu bakal mendatangkan satu masalah kepada jabatan itu, yang beroperasi sepanjang hari selama 365 hari dalam setahun.

Tegas Muhammad Helmi, MetMalaysia tidak boleh menutup operasinya walaupun seminit.

“Gempa bumi dan perubahan cuaca berlaku sepanjang masa. Kebanyakan operasi jabatan mesti sudah disediakan di lokasi baharu kira-kira sebulan sebelum kami benar-benar boleh berpindah ke tapak baharu.

"Kami sedang mengadakan bengkel untuk menentukan keperluan kami di bangunan baharu itu," katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia harus berwaspada terhadap ramalan harian MetMalaysia kerana cuaca tidak menentu adalah perkara biasa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram