PADA pagi Khamis, Mohd. Jamil Rahim, 46, bersiap awal kerana perlu menguruskan beberapa perkara di ibu kota termasuk memperbaharui kad pengenalan anaknya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ditakdirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) dan menggunakan kerusi roda, Mohd. Jamil tahu yang dia perlu merancang perjalanannya dengan teliti kerana peruntukan masanya untuk bergerak lebih panjang berbanding individu normal.
Namun, setibanya di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Cochrane, Mohd. Jamil terkejut kerana lif yang sepatutnya membantu untuk dia naik ke platform masih lagi rosak dari bulan Julai lalu dan belum dibaiki.
MOHD. Jamil kecewa lif yang sepatutnya dapat digunakan individu OKU tidak berfungsi.
Tiada pilihan lain, lelaki yang bekerja sendiri sebagai tukang jahit itu akur dan meneruskan perjalanannya dengan menaiki bas ke stesen berikutnya.
Alangkah hampanya Mohd. Jamil apabila perjalanan yang sepatutnya lancar sekali lagi terkandas. Lif di stesen tersebut juga rosak dan dijangka pulih pada penghujung Disember.
Apa lagi yang terdaya dilakukan oleh Mohd. Jamil selain daripada meminta bantuan polis bantuan untuk membantunya menggunakan eskalator. Itu sahaja pilihan yang ada dan mujur ada yang boleh membantu.
DUA lif rosak di stesen berbeza menyukarkan perjalanan Mohd. Jamil.
Usai selesai urusan di ibu kota, Mohd. Jamil menggunakan MRT untuk pulang sebelum turun di Stesen TRX. Harapannya adalah lif di stesen tersebut dapat digunakan dan perjalanan balik akan diteruskan dengan menaiki bas.
Harapannya meleset. Lif di stesen itu juga dimaklumkan rosak! Apa sudah jadi? Negara yang dikenali di dunia kerana bangunan pencakar langit masih lagi gagal memberikan kemudahan asas untuk OKU.
Semua itu diluahkan Mohd. Jamil kepada Majoriti. Malah, dia turut berkata, hidupnya hanya bersama anak dan isteri pula telah tiada. Bagaimana dia mahu berdikari jika infrastuktur yang sepatutnya memudahkan OKU pun tidak diambil peduli.
"Apa yang saya risaukan ialah penghujung tahun akan banyak bantuan yang diberikan terutamanya oleh pihak baitulmal dan perlu diambil di ibu kota.
"Kalau keadaan begini berterusan, bagaimana agaknya saya nak mengambil bantuan tersebut? Sedangkan dengan bantuan itu juga saya mahu membeli kelengkapan sekolah untuk anak untuk tahun hadapan.
TANGKAP layar status Facebook yang dimuat naik Mohd. Jamil dengan harapan ada tindakan susulan diambil.
"Kalau naik bas, kena tunggu di tepi jalan lagi. Dengan keadaan OKU memang agak sukar. Kalau naik Grab pun bukan semua mahu ambil penumpang OKU.
"Mahu atau tidak, MRT adalah pilihan yang terbaik selain daripada meminta bantuan daripada orang lain. Tapi itulah, kalau keadaan begini berterusan, memang sukarlah buat kami," katanya.
Tidak banyak pun harapan Mohd. Jamil iaitu supaya isu kemudahan untuk OKU terutamanya melibatkan lif dapat diselesaikan dengan segera dan tidak dijadikan sebagai bahan untuk berpolitik.
Janganlah kerana politik, golongan OKU yang terpaksa menanggung kesusahan. Jika itu yang berlaku, yang senang akan terus mengambil kesempatan, yang susah akan terus berada dalam kesempitan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram