Ada pihak mungkin ambil sumbangan banjir untuk diri sendiri — Polis


  • 112
  • Jumaat, 24 Dis 2021

ORANG ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati terhadap pihak yang meminta sumbangan. — Gambar hiasan/ The Star

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang mengambil kesempatan daripada bencana banjir teruk yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, untuk mengutip derma bagi kegunaan sendiri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, bagaimanapun pihaknya belum menerima laporan berhubung kes penipuan kutipan derma banjir setakat ini.

"Berdasarkan pemerhatian, pelbagai inisiatif kutipan derma telah dilancarkan oleh parti politik, badan bukan kerajaan dan individu persendirian bagi memberikan bantuan kepada mangsa terjejas, dengan kebiasaannya aktiviti sedemikian mendapat maklum balas yang positif rakyat Malaysia,” ujarnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, polis akan sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet dan sebarang aktiviti yang meragukan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang awam dinasihatkan berhati-hati dalam menyalurkan derma agar ia sampai kepada mangsa yang terlibat," katanya.

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti penipuan kutipan derma, digesa menyalurkan kepada JSJK Scam Response Centre melalui talian 03-26101559 atau membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, penipuan, JSJK, kutipan derma banjir