Lazada sumbang 30,000 pek barangan bantuan banjir ke 10 PPS di Selangor


  • Bizz
  • Rabu, 22 Dis 2021

ANTARA kakitangan Lazada yang turun menghulurkan bantuan pada Selasa. — Facebook

LAZADA Malaysia hari ini menyumbang sebanyak 30,000 pek bekalan bantuan barangan untuk diagihkan kepada 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor yang menempatkan lebih 4,500 mangsa banjir.

PPS tersebut ialah di Sekolah Rendah Integrasi Tengku Ampuan Fatimah, Masjid Bandar Bukit Raja, Sekolah Menengah Klang Utama, Pangsapuri Permai Bukit Kuda, Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Masjid Bukit Kapar, Dewan Orang Ramai Tok Muda, Sekolah Rendah Agama Sungai Serdang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuching.

Ketua Pegawai Logistik Lazada Malaysia, P. Sunil Singh dalam satu kenyataan berkata, Lazada bersedia untuk membantu masyarakat setempat dalam apa jua cara, terutama dengan meningkatnya jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS.

"Beberapa hari lepas, adalah hari yang sukar bagi rakyat Malaysia kerana ramai yang terjejas akibat banjir. Kami ingin merakamkan rasa simpati yang tidak terhingga kepada semua mangsa dan keluarga mereka yang mengalami kerosakan harta benda dan mata pencarian terganggu akibat banjir.

"Kepada semua mangsa yang terjejas, sila kekal kuat dan kekal selamat,” katanya.

Barangan bekalan bantuan banjir tersebut antara lain termasuk makanan kering, air botol, peralatan mandian, selimut, barangan kebersihan diri, lampin bayi, kit ujian Covid-19, antara lain, yang telah diserahkan kepada kerajaan Selangor.

Bagi menghulurkan sumbangan itu, Lazada telah bekerjasama dengan sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk mengumpul dana menerusi platform sumbangan digital LazadaForGood untuk membantu keluarga mangsa, kawasan kejiranan, serta haiwan yang dipindahkan akibat banjir.

Kenyataan itu memperincikan bahawa penderma boleh memilih untuk menderma antara RM1 hingga RM500 kepada NGO tersebut.

Ini termasuk kepada Mercy Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Islamic Relief, The Lost Food Project, Hospis Malaysia, MyFundAction, Society for the Prevention of Cruelty to Animals, Zoo Hab Negara dan NGO.

Sebagai menghargai dan menggalakkan orang ramai menyumbang dengan seikhlas hati, setiap yang menderma RM30 dan ke atas kepada mana-mana NGO tersebut akan memperoleh 300 LazCoin mulai sekarang hingga akhir Januari tahun depan.

Mata ganjaran berkenaan boleh ditebus untuk hadiah percuma, baucar diskaun, diskaun. semasa daftar keluar dan tawaran eksklusif, menurut kenyataan itu.

Pengguna-pengguna Lazada boleh menderma dengan mencari kata kunci "Lazada Teman You" pada bar carian di aplikasi Lazada, kemudian memilih mana-mana NGO rasmi di LazadaForGood dan melengkapkan sumbangan dengan mengklik 'Beli Sekarang'.

Untuk maklumat lanjut tentang NGO bantuan banjir LazadaForGood, sila layari: https://lzd.co/LazadaTemanYouXFloodCareRelief. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram