MEMATUHI prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan merupakan antara cabaran yang besar buat industri teater dan pementasan, kata Ketua Jabatan Drama, Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya, Dr. Marlenny Deenerwan.
Menurut beliau, ia dilihat sebagai cabaran kerana dalam usaha penggiat industri mahu mematuhi SOP yang ditetapkan, banyak perkara yang perlu diambil perhatian.
"Meskipun industri seni kreatif diberi kelonggaran untuk kembali aktif, banyak perkara yang perlu dititkberatkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
"Hal itu merupakan cabaran buat kami yang mana ada beberapa perkara perlu diambil kira sebagai contoh jumlah krew dan pemain peran, penjarakkan sosial, pemeriksaan Covid-19 dan lain-lain lagi," katanya kepada Majoriti.
Dr. Marlenny Deenerwan
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pementasan teater bangsawan, Hikayat Si Miskin Menjadi Raja di Kuala Lumpur Peforming Art Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya yang juga merupakan pengarah pementasan itu, beliau mengakui dalam mematuhi SOP yang ditetapkan, ia bukan sahaja menelan kos tambahan ada elemen yang menjadi identiti pementasan perlu dikorbankan.
Katanya, sebagai contoh mengambi pengalaman mengarah teater bangsawan, dia terpaksa mengurangkan jumlah pemain peran untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Teater bangsawan biasanya meriah dengan kepelbagaian watak daripada sultan, orang istana, dayang dan rakyat jelata, namun kerana SOP memerlukan penjarakkan sosial secara tidak langsung kami perlu menghadkan jumlah pemain peran mengikut saiz pentas.
"Pada masa sama kami juga kami perlu memastikan setiap orang yang terlibat tidak mempunyai simptom jangkitan dan untuk itu pemeriksaan Covid-19 harus dilakukan secara kerap oleh pihak industri," katanya.
Jelas Marlenny lagi, meskipun banyak cabaran yang perlu ditempuh, dia pada masa sama mahu tradisi seni pementasan tradisional tidak pupus dan diwarisi buat tatapan generasi akan datang.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram