Dakwaan polis halang sukarelawan kerana tunggu MB tidak benar


  • Primer
  • Rabu, 22 Dis 2021

TANGKAP layar video tular keluhan seorang sukarelawan yang terlibat dalam misi bantuan di Taman Sri Muda, Shah Alam.

DAKWAAN kononnya sekumpulan sukarelawan tidak dibenarkan masuk ke kawasan Taman Sri Muda untuk membantu mangsa banjir yang terjejas kerana menantikan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari adalah tidak benar.

Pada Selasa, satu video tular di media sosial selepas seorang sukarelawan meluahkan kekecewaannya kerana dihalang masuk oleh pihak berkuasa yang bertugas.

Menurut sukarelawan itu, pasukan sukarelawan yang diketuai Nedim Nazri yang merupakan anak bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut tidak dibenarkan masuk.

Video itu dimuatnaik oleh bekas ahli PKR, Faekah Husin di akaun Twitter @faekah_qkn5, yang mengatakan bahawa mereka dihalang masuk kerana pihak berkuasa sedang menanti kehadiran Amirudin.

Namun, perkara itu dinafikan oleh Setiausaha Politik Amirudin, Juwairiya Zulkifli, dalam satu hantaran Twitter pada Rabu.

Katanya, Amirudin ketika itu sedang mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Banjir dan tidak berada di lokasi terbabit.

Screenshot 2021-12-22 181334

Penjelasan Setiausaha Politik Amirudin mengenai ciapan yang tular itu.

"Pada ketika ini MB sedang mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Banjir dan tidak ke sana. Jangan fitnah," ciapnya.

Sementara itu, Nedim juga turut menyangkal dakwaan Faekah dan menasihatinya supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

Beliau mengakui pihaknya dihalang oleh polis untuk pergi ke lokasi berkenaan, namun menegaskan tuduhan terhadap Amirudin adalah tidak benar sama sekali.

Screenshot 2021-12-22 181229

Ciapan Nedim yang menjelaskan situasi berkenaan.

"Video ni jangan sebarkan bukan-bukan! MB tiada kena-mengena di sini, tak tahu cerita jangan buat cerita... Semua di atas benar kecuali pasal MB Selangor, dia tidak berada di situ. Jadi jangan libatkan dia," ciapnya pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram