Kedai minyak wangi di Jalan Klang Lama diserbu


  • 112
  • Rabu, 22 Dis 2021

PENGUATKUASA KPDNHEP menunjukkan minyak wangi yang dirampas. — Gambar ihsan KPDNHEP

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis yang disyaki menjual minyak wangi tiruan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur serta merampas 13,577 unit produk berkenaan bernilai kira-kira RM117,435, pada 14 Disember lalu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, operasi itu dilakukan susulan aduan yang diterima daripada wakil cap dagangan Global Trade Shields (GTS) berhubung penjualan produk wangian pelbagai jenama terkenal.

"Ketika serbuan, lapan pekerja sedang membungkus minyak wangi dipercayai untuk dipasarkan di Semenanjung secara dalam talian dan pemeriksaan lanjut turut menemui sebuah stor simpanan di premis berkenaan yang menempatkan pelbagai jenis dan jenama produk wangian badan.

"Hasil pengecaman awal daripada wakil pengadu, mereka mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pembungkusan minyak wangi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kesemua minyak wangi tiruan itu bersama beberapa dokumen perniagaan disita untuk siasatan lanjut, manakala lapan pekerja dan seorang pemilik perniagaan yang kesemuanya warga tempatan juga ditahan bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu sesiapa mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KPDNHEP, Minyak Wangi, Tiruan, Produk