BENCANA banjir sejak Sabtu lalu di Lembah Klang dan beberapa negeri seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka menyebabkan lebih 34 orang terkorban.
Pihak berkuasa seperti bomba, tentera malahan sukarelawan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap di kawasan terjejas.
Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini disifatkan sebagai antara yang terburuk pernah berlaku dalam sejarah negara ini.
Menurut perkongsian laman Facebook Kemaman Tular yang memetik nukilan seorang warganet dikenali sebagai Hamba Allah @ Pekerja Bawahan, dia mengingatkan kesiapsiagaan 'darurat banjir' hendaklah ditanam dalam setiap pemikiran rakyat Malaysia.
"Banjir dan bencana dahsyat boleh berlaku di setiap inci negara ini bukan sahaja di kawasan Pantai Timur.
"Setiap rakyat perlu tahu di mana perlu berpindah jika banjir berlaku. Seboleh-bolehnya dari awal lagi, kerajaan mesti menyediakan kapasiti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk 30 juta rakyat negara ini," katanya.
Tambahnya, jentera bencana kerajaan hendaklah diperluas dan perlu bersedia dalam kapasiti untuk menyelamatkan 100,000 hingga 200,000 orang secara serentak dalam satu masa.
"Saya percaya pihak berwajib sedaya upaya menghadapi krisis ini sebaik mungkin. Namun pasti ada kelemahan yang perlu diperbaiki," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram