Dua lagi mayat ditemukan di Taman Sri Muda


  • 112
  • Rabu, 22 Dis 2021

BANJIR teruk yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. — The Star

DUA lagi kematian direkodkan di kawasan banjir Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor menjadikan jumlah keseluruhan 14 korban mangsa banjir ditemukan dengan lapan daripadanya adalah lelaki dan baki enam wanita, setakat 6 petang pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dua mangsa terbaharu itu merupakan dua beranak warga tempatan iaitu seorang bapa berusia 78 tahun dan anak perempuannya berusia 48 tahun yang ditemukan di sebuah rumah teres satu tingkat pada pukul 1.40 petang Rabu.

"Kita mendapat makluman tentang dua beranak ini daripada keluarga terdekat susulan mereka ini tidak dapat dihubungi sejak banjir melanda. Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian 1 (PKTK 1) Taman Sri Muda pada Rabu.

Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata, seramai 4,276 mangsa banjir telah berjaya diselamatkan dengan 4,080 mangsa dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS) manakala selebihnya memilih untuk berpindah ke rumah saudara dan sebagainya.

Mengulas mengenai perkembangan insiden pecah masuk kedai serbaneka baru-baru ini, beliau berkata sebanyak 10 laporan diterima membabitkan ke pecah masuk kedai serbaneka, kedai perkakasan serta sebuah restoran. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram