JUMLAH korban akibat banjir di Selangor dan Pahang meningkat kepada 33 nyawa berbanding 27 yang direkodkan pada Rabu.
Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 24 mangsa manakala sembilan lagi mangsa korban banjir ditemukan di dua lokasi di Pahang.
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, penemuan mangsa lemas susulan kejadian bencana itu membabitkan 14 mayat di Shah Alam, diikuti Klang dan Kajang, masing-masing tiga, Sepang (dua) manakala di Kuala Selangor dan Subang Jaya, masing-masing satu.
Dalam pada itu, tinjauan Bernama di Hospital Shah Alam mendapati perkarangan bilik mayat lengang dengan tiada waris mangsa banjir yang menunggu di Jabatan Forensik hospital itu bagi menuntut jenazah ahli keluarga mereka.
Sementara itu, korban banjir di Pahang pula membabitkan dua mangsa di Kuantan, manakala tujuh lagi di Bentong.
Kejadian di Bentong melibatkan fenomena kepala air di dua kawasan iaitu di sebuah pusat peranginan dengan dua mayat telah ditemukan manakala seorang lagi dilaporkan hilang dalam insiden itu.
Dalam kejadian di Telemong, lima mayat telah ditemukan manakala seorang lagi mangsa yang dipercayai hilang masih belum ditemui. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram