Bot pasukan keselamatan terbalik ketika cari mangsa lemas


  • Benua
  • Khamis, 23 Dis 2021

OPERASI mencari dan menyelamat mangsa lemas di Sungai Cibubay terpaksa dihentikan buat sementara waktu ekoran insiden bot terbalik. — Sukabumi Update

BOT pelampung Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) yang digunakan pasukan penyelamat ketika operasi mencari seorang mangsa lemas di Sungai Cibubay di Wilayah Sukabumi terbalik dalam kejadian pada petang Rabu.

Jurucakap badan itu, Ridwan berkata, kejadian bot terbalik itu dipercayai berpunca daripada pusaran serta aliran air sungai yang deras.

Katanya, susulan insiden tersebut, operasi mencari dan menyelamat melibatkan tiga pasukan itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

"Pencarian akan dilanjutkan apabila kita bersedia. BPBD akan berusaha namun keadaan sungai sangat berbahaya.

"Kita tidak dapat menentukan berapa lama lagi operasi pencarian ini akan berlangsung. Biasanya selama tiga hari, semoga mangsa berjaya ditemukan," katanya menurut laporan Suara.com.

Mangsa lemas, Abdul Rahman sebelum itu dilaporkan hilang di Sungai Cibubay di Kampung Sindanghayu, Desa Curugluhur, daerah Sagaranten, wilayah Sukabumi pada Selasa.

Dia bersama tujuh lagi rakannya mengambil upah mengutip kayu dipanggil kayu jengjeng. Kayu-kayu pokok yang telah ditebang itu sukar diangkat menggunakan motosikal atau kereta dan memerlukan beberapa hari untuk berbuat demikian.

Mengambil jalan pintas, mangsa dan rakan-rakannya menghanyutkan kayu itu ke Sungai Cibubuay. Bagaimanapun, berikutan hujan lebat dan air sungai yang melimpah aktiviti menghanyutkan kayu mengikut arus sungai itu terpaksa dihentikan sementara.

Ketika yang lain berteduh, mangsa yang ternampak ada kayu hanyut hanyut di seberang sungai cuba mengambil kayu berkenaan namun tindakannya hanya memakan diri selepas dia terjatuh ke dalam sungai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram