Sukarelawan dakwa polis tak benar masuk ke Taman Sri Muda kerana tunggu MB


  • Tular
  • Rabu, 22 Dis 2021

TANGKAP layar video tular keluhan seorang sukarelawan yang terlibat dalam misi bantuan di Taman Sri Muda, Shah Alam.

SATU video tular di media sosial pada Selasa selepas seorang sukarelawan yang berhasrat untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam meluahkan kekecewaannya kerana dihalang masuk oleh pihak berkuasa.

Tambah sukarelawan itu, pasukan sukarelawan yang diketuai Nedim Nazri yang merupakan anak bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz turut tidak dibenarkan masuk.

Menurut bekas ahli PKR, Faekah Husin menerusi satu ciapan di akaun @faekah_qkn5, kesemua mereka dihalang masuk kerana pihak berkuasa sedang menanti kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Faekah turut berkongsikan video kejadian tersebut yang didakwa berlaku pada malam Selasa.

Katanya, pasukan sukarelawan lain hanya dibenarkan masuk selepas urusan Menteri Besar selesai.

Screenshot 2021-12-22 181357

Ciapan Faekah yang tular pada Selasa.

"Saya selidik video ini melalui keluarga yang terlibat dalam operasi bantuan (persendirian).

"Betul, mereka ditahan malah Unit Amal nak bawa 400 bungkus makanan pun sama ditahan.

"Alasan MB nak datang. Boleh masuk lepas MB keluar. Atau bawa makanan jalan kaki. Nak maki siapa? Rakyat?" ciapnya di Twitter pada Selasa.

Menerusi balasan kepada ciapan tersebut, sebilangan pihak mengatakan bahawa perkara itu tidak benar dan sudah ada pihak yang dibenarkan masuk sebelum itu untuk memberi bantuan.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Menteri Besar, Juwairiya Zulkifli, dalam balasan kepada ciapan tersebut menjelaskan bahawa Amirudin ketika itu sedang mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Banjir dan tidak berada di lokasi terbabit.

"Pada ketika ini MB sedang mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Banjir dan tidak ke sana. Jangan fitnah," ciapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram