Amaran KPDNHEP terhadap pengusaha bengkel


  • Primer
  • Rabu, 22 Dis 2021

BENGKEL dinasihatkan supaya tidak mengenakan caj yang melampau terhadap pengguna kenderaan yang terkesan akibat banjir. — The Star

PENGUSAHA bengkel kenderaan bermotor diingatkan tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang melampau bagi kerja-kerja pembaikan kenderaan ekoran bencana banjir yang melanda negara.

Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, peniaga bengkel harus mematuhi Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Pelindungan Pengguna 1999.

"Kita akan meningkatkan pemantauan ke atas premis perniagaan kenderaan bermotor dan peniaga yang mengambil kesempatan boleh disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisma Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

"Pengguna juga dinasihatkan berhati-hati mendapatkan sebut harga secara bertulis berkaitan jangkaan pembaikan kenderaan daripada peniaga," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Azman, sepanjang 2021, pihaknya telah menjalankan sebanyak 570 pemeriksaan terhadap bengkel kenderaan bermotor dan 76 kes telah diambil tindakan dengan nilai kompaun sebanyak RM21,250.

Sebarang aduan atau maklumat, orang ramai boleh melaporkan kepada KPDNHEP melalui saluran aduan iaitu WhatsApp 019-279 4317, portal aduan di e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, emel kepada e-[email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.

Terdahulu, hujan lebat sejak 17 Disember lepas mengakibatkan kejadian banjir termasuk di Lembah Klang selain merosakkan harta benda termasuklah kenderaan bermotor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KPDNHEP, Azman, Bengkel, Banjir