Singapura tangguh jual tiket VTL


  • Benua
  • Rabu, 22 Dis 2021

PENGEMBARA dari Singapura melalui proses pendaftaran sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba Malaysia menerusi VTL udara pada 29 November lalu.— Bernama

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) memaklumkan pihaknya akan mengambil langkah proaktif untuk mengurus aliran masuk pengembara di bawah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan mengurangkan risiko kepada komuniti Singapura.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh CAAS, penjualan tiket baharu untuk VTL udara turut ditangguhkan untuk semua kemasukan ke negara berkenaan dari semua negara VTL.

CAAS akan mengehadkan jumlah jualan tiket sebanyak 50 peratus daripada peruntukan kuota untuk kemasukan ke Singapura dengan penerbangan VTL yang ditetapkan mulai 21 Januari kelak.

Di bawah VTL, menurut CAAS, pelancong lengkap vaksin dari negara VTL dan mengikuti penerbangan VTL yang ditetapkan, boleh memasuki Singapura tanpa kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Pelawat jangka pendek (STV) dan pemegang pas jangka panjang (LTPH) perlu memohon Pas Perjalanan Lengkap Vaksin (VTP) untuk memasuki Singapura.

"Warganegara dan penduduk tetap Singapura (SCPR) yang lengkap vaksinasi dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak perlu memohon VTP untuk memasuki Singapura,” jelas CAAS.

Tambah CAAS, SCPR yang memegang tiket penerbangan VTL serta memenuhi semua syarat tidak akan terjejas dan boleh terus memasuki Singapura.

Mereka yang tidak cukup syarat akan tertakluk kepada langkah kesihatan sempadan, termasuk keperluan kuarantin.

LTPH dan STV pula boleh terus melakukan perjalanan ke Singapura tanpa kuarantin jika mempunyai VTP dan tiket yang sah selain memenuhi semua syarat lain.

Sementara mereka yang gagal mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan mungkin tidak dibenar masuk ke Singapura. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Singapura, VTL, Omicron, CAAS