Sakit mata, longgok sampah sesuka hati di Tumpat


  • Massa
  • Selasa, 21 Dis 2021

ANTARA gambar dikongsikan pengguna Facebook memaparkan longgokan sampah dibuang di benteng tepi jalan di Kampung Paloh, Tumpat, Kelantan. — Facebook

ISU buang sampah merata-rata dan dilonggokkan di tempat yang tidak sesuai umpama menjadi satu budaya buat segelintir masyarakat di negara ini.

Tindakan itu sekali gus mencacatkan pemandangan selain mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

Menerusi hantaran Abu Ihsan Ilahi di laman Facebook, dia berkongsi beberapa gambar pemandangan kurang menyenangkan di Kampung Paloh, Tumpat, Kelantan.

Gambar-gambar berkenaan memaparkan beberapa bungkusan sampah dilonggokkan dan dibuang merata-rata di benteng tepi jalan kampung berkenaan.

template (31)

ANTARA longgokan sampah yang dibuang merata-rata di benteng tepi jalan dekat kampung berkenaan. — Facebook

Justeru, dia berharap supaya pihak berwajib memberi perhatian berhubung isu itu termasuk mengadakan kempen kesedaran, menyediakan tong sampah berhampiran serta perkara lain yang dirasakan perlu.

Pada masa sama, dia juga berharap perkara itu mendapat kerjasama daripada pihak yang bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu.

"Semoga memberi kebaikan kepada alam sekitar iaitu sungai dan ikan-ikan, pemandangan sungai dan kesihatan penduduk berdekatan," katanya.

Terdahulu, pemilik sebuah syarikat pada September lalu didenda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas pemilik syarikat JJML Enterprise, G Durmono, 40, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal perindustrian tanpa kebenaran kira-kira jam 2.45 petang, 26 Oktober 2018, di Lot 2384, Jalan IKBN, Mukim Pedas Rembau.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 71(8) akta sama, yang mana denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada Ogos lalu turut menahan dua lelaki kerana membuang kulit durian di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Taman Mawar di Sungai Ruan, Raub, Pahang.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid dilaporkan berkata, kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki membuang kira-kira 500 kilogram kulit durian di dalam kebun kelapa sawit berkenaan.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) iaitu melonggokkan dan melupuskan sisa kulit durian di tempat yang tidak dibenarkan.

Katanya, siasatan lanjut dilakukan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

buang sampah, Tumpat, Facebook, sampah