Nelayan bersihkan Sungai Tebrau diupah kontraktor — MBJB


  • Massa
  • Jumaat, 17 Dis 2021

TANGKAP Layar rakaman video Sungai Tebrau.

PADA 11 Disember lalu, Majoriti melaporkan dakwaan kononnya nelayan di Sungai Tebrau yang membersihkan sampah sarap di kawasan tersebut, bukannya pihak berkuasa.

Isu itu dibangkitkan oleh seorang pengguna Twitter amiraaaisya selepas satu laporan menyebut Sungai Tebrau tersenarai sebagai sungai nombor 53 paling tercemar di dunia.

Susulan dakwaan itu, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tampil memberikan penjelasan mengatakan nelayan yang terlibat dalam operasi pembersihan sungai sebenarnya diupah oleh kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan di Sungai Tebrau.

"Kontraktor yang pihak MBJB lantik telah mengambil pekerja-pekerja dari kalangan nelayan tempatan dan mereka yang mengupah nelayan-nelayan itu.

"Nelayan-nelayan itu dipilih kerana mereka sudah mahir dengan selok-belok Sungai Tebrau," kata Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Datuk Haji Osman kepada Majoriti.

MBJB

DATUK Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Datuk Haji Osman

Mohd Noorazam juga berkata, sejak 1 November lalu, pihak MBJB telah mengutip sekurang-kurangnya 30 tan sampah di Sungai Tebrau.

"Untuk makluman, ada beberapa hari proses kutipan sampah dilakukan, pihak MBJB berjaya mengutip sehingga tiga tan sampah sehari," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu terdapat banyak faktor yang menjadi punca terlalu banyak sampah di Sungai Tebrau dan antaranya ialah sikap penduduk sendiri yang membuang sampah terus ke sungai.

Terdahulu, Majoriti melaporkan keadaan Sungai Tebrau yang sangat kotor menerusi video tular yang disiar sebuah pertubuhan alam sekitar antarabangsa Ocean Cleanup di laman Twitternya.

Pertubuhan itu menyatakan Sungai Tebrau itu dicatatkan sebagai sungai ke-53 paling tercemar di dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram