Mayat bayi perempuan dibuang dalam tong sampah di flat Bandar Tun Razak, ibu bapa 'berhati binatang' diburu


  • 112
  • Selasa, 14 Dis 2021

LOKASI mayat bayi perempuan itu dijumpai.

PENDUDUK di Flat Bandar Tun Razak dikejutkan dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dalam tong sampah di kawasan tempat letak kenderaan bertingkat pada petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada jam 5.50 petang.

"Mayat ditemui oleh pekerja pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat bayi berkenaan.

"Mayat tersebut kemudian dihantar ke Bahagian Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, tiada tangkapan dilakukan buat masa ini dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.

]"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes pembuangan bayi ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013-2165881 atau hotline Polis KL di talian 03-21460584 atau datang ke balai polis berhampiran," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram