Nelayan yang bersihkan Sungai Tebrau, di mana pihak berkuasa?


TANGKAP layar rakaman video Sungai Tebrau yang mengundang kekecewaan rakyat Johor. — Twitter

SUSULAN video tular keadaan Sungai Tebrau, Johor yang tercemar dengan sampah-sarap sehingga dikatakan sungai ke-53 terkotor di dunia, warganet meluahkan rasa kecewa dan marah dengan pihak berkuasa kerana tidak cakna dengan keadaan itu.

Hakikatnya, pengguna Twitter, amiraaisya mendakwa, bukannya pihak berkuasa yang bersihkan sungai tersebut namun nelayan di Sungai Tebrau sebenarnya yang melaksanakan tanggungjawab itu.

sungai tebrau

TANGKAP layar hantaran amiraaisya.

"Baru-baru ini saya ada berjumpa dengan orang orang Tebrau dan mereka kata nelayan kena bersihkan sendiri tanpa bantuan pihak berkuasa," dakwanya.

"Saya merupakan sebahagian daripada pasukan yang terlibat dalam kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu bagi Sungai Tebrau pada tahun 2018. Saya tidak tahu sama ada sungai itu boleh diselamatkan. Ada tilam terapung, plastik. Bahagian atas sungai okey dan jernih tapi tengah dan muara memang kotor," kongsi seorang lagi pengguna Twitter, bxllshxrif di hantaran itu.

"Apabila tidak tahu menghargai dan tidak mahu menghargai, memang tidak layak untuk dihargai pemimpin-pemimpin yang dilantik, " kata pengguna Twitter, dawnharun67.

Terdahulu, pada 30 November, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan untuk segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di sungai-sungai.

Susulan itu, R. Vidyananthan mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Penguatkuasaan Dan Pemantauan Kebersihan Sungai-Sungai Di Daerah Johor Bahru Dan Kulai pada Jumaat atas tujuan koordinasi antara agensi terlibat bagi mengatasi permasalahan kebersihan sungai di negeri itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram