Bot laju bawa 100 penumpang terbalik


  • Benua
  • Selasa, 21 Dis 2021

OPERASI menyelamatkan sebahagian mangsa bot laju karam di Maluku Tengah, Indonesia. — Agensi

SEBUAH bot laju yang membawa kira-kira 100 penumpang dilaporkan terbalik di perairan Pulau Pombo, Maluku Tengah, Indonesia pada Isnin.

Kejadian itu mengakibatkan seorang penumpang maut. Identiti mangsa dikenali sebagai Sedek Sosal, 60, yang berasal dari Desa Latu, Amalatu, Seram Barat.

“Jenazah ditempatkan sementara di Hospital Ishak Umarella,” kata jurucakap bertugas, Leftenan Anjarang pada Isnin.

Sementara itu, kata Anjarang, enam penumpang dirawat di Rumah Sakit Ishak Umarela Desa Tulehu, di Wilayah Maluku Tengah.

Mereka ialah Yofantata Hehanussa, 36, Wa Adia, 36, Cai Pattimura, 65, Amin Patty, 48, Rusda Patimura, 50, dan Gasim Patty, 54.

Anjarang berkata, bot laju itu dilaporkan membawa kira-kira 100 penumpang, tetapi nama mangsa yang direkodkan buat masa ini adalah seramai tujuh dengan enam dimasukkan ke hospital manakala satu dilaporkan meninggal dunia.

Bot laju milik penduduk Desa Kamariang yang dilaporkan membawa kira-kira 100 penumpang dan tiga motosikal itu bertolak dari pelabuhan Kamariang pada pukul 7 pagi menuju pelabuhan Tulehu, daerah Salahutu, Maluku Tengah.

Semasa dalam perjalanan, bot laju itu dipukul ombak tinggi, sehingga terbalik di perairan Pulau Pombo kira-kira pada pukul 8.20 pagi.

Difahamkan, bot laju itu tidak stabil dan senget ke kanan menyebabkan penumpang panik. Keadaan panik itu menyebabkan badan bot laju itu semakin senget ke kanan sebelum terbalik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mangsa, bot terbalik, Maluku Tengah, Indonesia,