VIDEO sebuah kereta diserang dua penunggang motosikal mengundang persoalan dalam kalangan pengguna media sosial pada Isnin.
Dalam video yang berdurasi 1 minit 14 saat itu dipaparkan seorang lelaki membawa motosikal sambil memegang helmet menghentak sebuah kereta jenis Myvi berwarna biru di Jalan Kubang Kerian - Lundang, Kelantan.
Tidak lama selepas itu, satu lagi motosikal yang dinaiki dua lelaki menyusul apabila pemboncengnya turut memegang helmet seolah-olah mahu menyerang kereta berkenaan.
Video yang dikongsi oleh pemilik akaun laman sosial Facebook, Firdaus Yahaya itu juga memaparkan penunggang motosikal tersebut bercakap sesuatu kepada pemandu kereta Myvi tersebut selepas mereka berhenti di tengah kesesakan lalu lintas.
Firdaus dalam statusnya turut bingung dengan kejadian tersebut.
"Kejadian sebuah kereta di kejar serta diserang oleh dua penunggang motosikal di atas jalan raya dikatakan berlaku di Jalan Kubang Kerian - Lundang.
"Namun, apa sebenarnya yang berlaku tidak dinyatakan," tulisnya.
Majoriti sedang berusaha mendapatkan respons pemilik Facebook dan juga maklumbalas Polis Kubang Kerian berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram