Banjir di Melaka, 40 mangsa pindah ke PPS Alor Gajah


  • 112
  • Sabtu, 18 Dis 2021

ALOR Gajah dilanda banjir kilat susulan hujan yang turun sejak Jumaat. — Facebook

SEBUAH pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Alor Gajah selepas kawasan tersebut dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda daerah itu sejak 3 petang Jumaat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal itu kini menempatkan 40 mangsa daripada 11 keluarga yang terjejas.

''PPS itu dibuka pada 9 malam semalam selepas lebih empat kawasan di daerah berkenaan terjejas akibat banjir kilat. Kawasan tersebut adalah Kampung Bukit Tambun, Kampung Balai, Kampung Jeram dan Kampung Taboh Naning,'' katanya dalam kenyataan lewat malam Jumaat.

Sementara itu, sebanyak 14 kawasan di daerah Melaka Tengah turut terjejas namun setakat ini tiada PPS dibuka.

Antara kawasan yang dilanda banjir kilat adalah Taman Bukit Beruang Melawis, Batu Hampar Peringgit, Malim Jaya, Hang Tuah Mall, Kampung Hulu, Kampung Sungai Putat, Kampung Morten, Kampung Chetti dan Empangan Klebang.

Di daerah Jasin pula, hanya sebuah kawasan iaitu Lubuk Kasau dilaporkan terjejas akibat hujan lebat yang melanda kawasan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir kilat, PPS, APM, Alor Gajah