Banjir Kelantan: 463 penduduk di Gua Musang, Kuala Krai dipindahkan


  • 112
  • Jumaat, 17 Dis 2021

KEADAAN air banjir yang menaiki Kampung Limau Kasturi di Gua Musang, Kelantan pada Jumaat. Facebook

SERAMAI 463 penduduk daripada 88 keluarga yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai di Kuala Krai dan Gua Musang kini dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang mula dibuka sejak jam 12.30 tengah hari Jumaat.

Menurut laman infobencana.jkm, lima PPS berkenaan adalah di Sekolah Kebangsaan Felda Chiku 7, Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1 di Gua Musang manakala di Kuala Krai pula bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai, Pejabat Veterinar Kuala Krai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Embak.

Mangsa yang dipindahkan membabitkan 165 lelaki dewasa, 171 perempuan dewasa, 51 kanak-kanak lelaki, 68 kanak-kanak perempuan, lima bayi lelaki, tiga bayi perempuan, 14 warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU).

Orang ramai dinasihatkan untuk berpindah lebih awal sebelum air memasuki kediaman mereka sekali gus menyukarkan operasi menyelamat dijalankan pihak berwajib.

Patuhi arahan agensi yang bertugas dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan semasa melakukan operasi pemindahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram