WABAK misteri yang telah membunuh hampir 100 orang di Juba, Sudan Selatan telah mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi melakukan penyiasatan dengan segera.
WHO telah menghantar pasukan tindak balas segera ke Jonglei, Sudan Selatan untuk mengumpul sampel ujian daripada pesakit selepas menerima laporan 89 kematian.
Jonglei dilanda banjir dahsyat yang telah merumitkan akses untuk ke wilayah itu. Banjir dahsyat itu telah meningkatkan risiko penularan malaria dan menyebabkan krisis kekurangan zat makanan yang membawa maut.
"Kami memutuskan untuk menghantar pasukan tindak balas segera untuk pergi melakukan penilaian dan penyiasatan risiko.
"Pada masa itu mereka akan dapat mengumpul sampel daripada orang yang sakit, sementara itu kami telah menerima angka korban 89," kata Sheila Baya dari WHO kepada BBC.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata banjir di Sudan Selatan itu adalah yang terburuk dalam 60 tahun.
Kira-kira 835,000 orang telah terjejas dengan 35,000 orang kehilangan tempat tinggal menurut PBB.
Pelbagai agensi bantuan bimbang tentang krisis kemanusiaan yang semakin meningkat dan kekurangan zat makanan yang teruk di Sudan Selatan.
Menurut Médecins Sans Frontières, sebuah badan amal antarabangsa, bilangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dengan kekurangan zat makanan yang teruk meningkat dua kali ganda sejak permulaan bencana banjir.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram