Banjir di Klang, bomba pindah lebih 110 mangsa


  • 112
  • Jumaat, 17 Dis 2021

KEADAAN Kampung Nelayan, Teluk Gong yang dinaiki air banjir sedalam satu meter. — Ihsan bomba

SELAIN Pantai Timur, beberapa kawasan di Selangor turut mengalami banjir selepas hujan lebat sejak pagi Jumaat, mengakibatkan air naik hingga mangsa terjejas terpaksa dipindahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Di Klang, sebanyak 113 mangsa di Kampung Nelayan, Teluk Gong dipindahkan setakat ini ekoran limpahan air di kawasan kumbahan dan longkang menyebabkan air naik sedalam satu meter.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata, sebanyak tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek, SRA Pulsu Indah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong.

"Sekumpulan enam pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dikejarkan ke Kampung Nelayan, Teluk Gong.

"Sebaik tiba di lokasi, komander operasi mendapati berlaku banjir kilat pada paras paha (anggaran hampir satu meter) susulan hujan lebat.

WhatsApp Image 2021-12-17 at 22.20.54

BOMBA turut terlibat dalam khidmat khas menyelamat mangsa banjir di Lorong Ikan Bawal Cermin dalam kejadian pada Jumaat. — Ihsan Bomba

"Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat namun pemantauan tetap dilakukan oleh anggota bertugas di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam.

Katanya, anggota bomba juga terlibat dalam khidmat khas menyelamatkan mangsa di Lorong Ikan Bawal Cermin membabitkan mangsa seorang warga emas, empat kanak-kanak dan seorang dewasa.

"Mereka dibawa ke PPS SK Telok Gong. Operasi bermula jam 7.25 malam dan masih dijalankan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram