Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat


  • 112
  • Jumaat, 17 Dis 2021

129 orang daripada 20 keluarga di Gua Musang, Kelantan dipindahkan ke dua PPS setakat 10 pagi Jumaat. — Bernama

SERAMAI 129 orang daripada 20 keluarga di Gua Musang, Kelantan dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 pagi Jumaat, selepas rumah mereka dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan di daerah itu sejak tiga hari lepas.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kelantan daerah Gua Musang, Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, dua PPS dibuka adalah Dewan Orang Ramai, Chiku 7 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi (1) yang mula diaktifkan pukul 9 pagi Jumaat.

"PPS Dewan Orang Ramai, Chiku 7 menempatkan seramai 102 orang melibatkan 16 keluarga manakala PPS SK Limau Kasturi (1) pula menempatkan empat keluarga membabitkan 27 orang," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Yussalmi berkata, beliau menjangkakan jumlah mangsa banjir di dua PPS tersebut akan bertambah memandangkan hujan masih berterusan di kawasan itu.

Sementara itu, hujan lebat di beberapa kawasan di Terengganu sejak pagi Khamis menyebabkan 21 orang daripada lima keluarga terpaksa berpindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, PPS pertama yang dibuka pada 1.30 pagi Jumaat ialah Sekolah Kebangsaan Kasar, Hulu Nerus di daerah Setiu yang menempatkan empat sekeluarga.

"Satu lagi PPS dibuka di daerah Dungun pada 6.30 pagi iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga.

"Ketika ini, hujan lebat masih berlaku di kebanyakan tempat dan penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa peka dan berpindah segera apabila diarahkan pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan stesen bacaan di dua sungai Terengganu telah melepasi paras bahaya.

Dua stesen bacaan itu ialah di Sungai Dungun di Pasir Raja setinggi 37.56 meter (m) berbanding paras bahaya 37.5 m dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman setinggi 18.89 m mengatasi paras bahaya 18.5 m.

Selain itu, dua jalan di daerah Kemaman juga ditutup setakat ini kepada semua kenderaan ringan iaitu Jalan Pelatoh ke Lubuk Lesung kerana dinaiki air setinggi 0.4 m dan Jambatan Lama Teladas berikutan arus yang deras.

Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif dan tidak mengambil risiko melalui jalan yang ditutup bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, PPS, Kelantan, Terengganu