TERPAKSA menghentikan kenderaan kerana laluan telah dihalang oleh sebuah helikopter yang mendarat di tengah Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak.
Kejadian itu dirakam oleh seorang pengguna jalan raya dan video berdurasi hampir tiga minit itu turut mengundang kecaman warganet.
Menerusi video tersebut, individu yang merakamnya mengeluh kerana mereka terpaksa berhadapan dengan kesesakan jalan raya semata-mata kerana sebuah helikopter yang mendarat di tengah jalan raya.
Malah, individu itu juga mendakwa walaupun helikopter itu mempunyai hubungan dengan kerajaan negeri sekalipun, tidak adil untuk mereka bertindak sesuka hati hingga menyusahkan orang lain.
Malah, beberapa pengguna jalan raya yang lain juga sempat membunyikan hon mereka kerana terlalu lama terkandas dalam kesesakan jalan raya itu.
Seorang pengguna Facebook, Addriyana Nazareth Chong juga mengesahkan kejadian tersebut yang berlaku simpang masuk ke Pantu.
"Ya atas lebuh raya Pan Borneo. Betul-betul di simpang nak masuk Pantu. Saya adalah seorang daripada pemandu yang berada di hadapan sana," katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Peter Sumbang juga mempertikaikan tindakan tersebut dilakukan semata-mata untuk berkempen.
"Kenapa harus mendarat atas jalan sedangkan bukan kecemasan, semata-mata nak berkempen habiskan duit rakyat Sarawak, katanya.
Joe Wings pula berkata, tindakan yang dilakukan oleh pihak terlibat adalah sesuatu yang boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
"Ini ada satu kesalahan. Jalan raya bukan tempat mendaratkan helikopter dan ini sungguh membahayakan pengguna jalan lain. Kalau mahu bagi bantuan pakai kenderaan darat la kalau tiada tempat nak mendaratkan helikopter," katanya. — Majoriti
Tangkap layar komen yang ditinggalkan wargnet. — Facebook
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram